Independent

Bina Keharmonian Sesama Kepemimpinan

Reading Time: 2 minutes

Tiba-tiba pentadbiran kerajaan Perak dibadai desas-desus bakal bertukar kerajaan hasil daripada permuafakatan UMNO-PAS.

Bertebaran hal ini melalui aplikasi WhatApps seolah-olah memang benar akan berlaku pertukaran kerajaan dalam masa terdekat.

Sekalipun kepimpinan kerajaan negeri menafikan hal ini, namun ia bukanlah lesen menghalang isu ini terus ditularkan.

Sebelum itu, media telah menyiarkan ketidakpuasan hati segelintir kepimpinan Bahagian Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ekoran pembubaran ahli jawatankuasa.

Yang terbaru tular di internet seorang Timbalan Ketua Bahagian yang memaki dengan kata-kata kesat terhadap YAB Dato’ Seri Menteri Besar Perak. Hakikatnya, itulah salah satu protes yang merupakan sebahagian daripada asam garam `tarian’ dalam berpolitik.

Semua ini bukan pelik khususnya yang `hidup matinya’ memang atas nafas politik. Bahkan dalam sejarah politik negara ada yang disumbat ke dalam penjara setelah melalui proses perbicaraan yang panjang.

Tidak kurang juga ada yang terpaksa menelan pelbagai fitnah  dan tuduhan tidak berasas yang kadangkala tidak langsung bersangkutan dengan dunia politiknya.

Berkaitan pertukaran kerajaan lantaran permuafakatan UMNO-PAS, telahan awal saya ialah sukar berlaku. Hal ini disebabkan kedudukan dua orang wakil rakyat yang telah berikrar dan `berbai’ah’ untuk terus menyokong Menteri Besar sebelum ini.

Tidak mungkin mereka akan mungkiri janji dan berpaling tadah setelah sempurna pembentukan kerajaan. Tambahan pula, hal ini melibatkan maruah dan harga diri dan jika dilanggar bakal mengundang kecaman lebih dahsyat berbanding ketika `melompat’ dahulu.

Adab dan budaya Melayu

Adapun hal berkirim salam secara ‘memaki hamun’ itu jika diambil dari sudut adab dan budaya Melayu memang bukan caranya. Sekalipun mungkin ada kelemahan di pihak Menteri Besar, ia bukanlah jalan penyelesaian terbaik, apatah lagi pelaku pernah menjadi sahabat rapatnya.

Kata-kata kesat yang diungkapkan kepada Menteri Besar bukan sahaja boleh menjatuhkan maruah diri, malah bakal mengundang persepsi negatif rakyat kepada kepimpinan negeri.

Dalam erti kata lain, imej pentadbiran kerajaan negeri juga boleh tercalar akibat perbuatan terlalu marah ini.

Ironisnya, insiden ini ibarat nasi sudah menjadi bubur. Sekalipun begitu, bukanlah bererti `bubur’ itu tidak boleh dimakan.

Jika kembali kepada amalan pemakanan orang tua-tua, lazimnya bubur adalah makanan ketika tidak sihat, misalnya ketika demam, sakit tekak atau tidak mencukupi beras untuk ditanak sebagai nasi.

Bagi keluarga yang pernah hidup susah pasti bersyukur jika dapat makan bubur nasi walaupun hanya sekali sehari.

Peribahasa lain yang sinonim ialah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Andai peribahasa ini menjadi pegangan, pasti buntu untuk mencari jalan penyelesaiannya kerana lebih bersifat menjatuhkan hukuman.

Namun, hal ini bukan bererti mengiayakan kata-kata jelek yang dihamburkan itu, tetapi sebagai manusia biasa sehebat manapun sabarnya, akan terpacul juga marahnya jika terus dicabar.

Saling bermaafan

Rakyat bukan ingin menonton sinetron perbalahan dan saling menuding kelemahan sesama pemimpin. Yang ditunggu dan ingin dilihat rakyat ialah sifat pemimpin yang sabar dan pemaaf serta bijak menangani situasi agar tidak terbuka aib mana-mana pihak.

Hulurlah tangan untuk akrabkan kembali persahabatan yang juga menjadi bekal di akhirat kelak. Andai terlanjur kata, saling bermaafan itulah solusi terbaik sekaligus memupuk kehamonian serta ketenangan ketika mengurus pentadbiran.

Adalah lebih baik berpegang kepada carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga. Tidak ada faedahnya bercakaran dalam satu gelanggang yang sama, apatah lagi pernah `berguru’ dan mempunyai jurus yang sama.

Ingatlah pesan nenek moyang kita, iaitu biduk lalu kiambang bertaut dan bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Apapun yang telah berlaku biarlah menjadi iktibar agar tidak diulangi lagi. Lebih baik fokus kepada kepentingan rakyat dan negeri mengikut tanggungjawab yang diamanahkan.

Yang berkepentingan politik pula janganlah menjadi batu api, tetapi jadilah jarum untuk menjahit bahagian yang terkoyak itu. Jika ada kelemahan, bantulah sekadar perlu, jika sudah baik, tambah baiklah kebaikan sedia ada itu.


Ibrahim Ahmad adalah Timbalan Presiden Pertubuhan Masyarakat Harmoni Melayu Perak (HARMONIS), merangkap Pensyarah di UniKL RCMP Perak, Ipoh.

Exit mobile version