Independent

Cabaran Sebenar Guru Melahirkan Modal Insan Mampu Berdepan Cabaran Era Globalisasi

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Cabaran sebenar guru pada masa kini adalah untuk melahirkan modal insan yang mampu menempuh cabaran dalam era globalisasi masa depan.

Menurut Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu, beliau mengakui peranan guru sebagai pendidik dalam abad ke-21 ini untuk merealisasikan matlamat itu amat mencabar.

Justeru itu, beliau berharap guru akan melihat peranan mereka sebagai role model kepada anak-anak didik.

Katanya, jika dahulu para ibu bapa sendiri yang menyerahkan rotan kepada guru untuk membentuk anak mereka, namun ia tidak berlaku di zaman sekarang. Menurut Ahmad Faizal, dalam usaha ke arah mendisiplinkan murid, guru juga sering berdepan dengan tindakan ibu bapa apabila segelintir daripada mereka sengaja menularkan tindakan tersebut di laman-laman sosial tanpa usul periksa.

Katanya, ini menjadikan tugas guru menjadi lebih rumit, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan golongan pelajar yang mempunyai masalah dari segi disiplin.

“Saya memahami kekangan ini, tetapi saya ingin mengajak para guru supaya melihat hikmah di sebalik ujian ini.

“Sesungguhnya, cabaran ini menjadikan guru lebih kreatif dalam mencari jalan penyelesaian kerana setiap pelajar adalah unik,” katanya semasa berucap merasmikan penutup Sambutan Hari Guru Sedunia 2018 di Hotel Excelsior, Ipoh malam tadi.

Dalam ucapannya itu, beliau sempat mengajak semua hadirin beragama Islam diam sebentar untuk sedekahkan bacaan surah Al-Fatihah dan bertafakur bagi yang bukan beragama Islam sebagai memperingati guru-guru yang telah pergi dan menghargai jasa serta pengorbanan semasa hidup mereka.

Pada majlis yang dianjurkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) itu, Ahmad Faizal turut merasmikan pelancaran Tabung Tsunami Sulawesi Tengah, Indonesia oleh persatuan tersebut.

Sebagai gimik pelancaran, beliau memasukan cek sumbangan NUTP bernilai RM10,000, yang diserahkan kepadanya, ke dalam tabung tersebut.

Turut disampaikan sumbangan NUTP sebanyak RM6,000 kepada waris-waris enam anggota bomba yang maut dalam operasi mencari seorang remaja yang dipercayai lemas di Puchong.

Exit mobile version