Independent

Datuk Azhar Sifatkan Cadangan Zam Tutup Sekolah Tahfiz Satu Pemikiran Dangkal

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Pengerusi Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), Datuk Haji Azhar Ahmad menyifatkan cadangan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa untuk menutup sekolah tahfiz sebagai satu pemikiran yang dangkal dan keterbelakangan.

Datuk Azhar sebaliknya mempersoalkan motif sebenar Tan Sri Zainuddin melemparkan cadangan itu yang langsung tidak bertepatan dengan perkembangan semasa sekolah tahfiz di seluruh negara .

“Kami menentang sekeras-kerasnya cadangan Tan Sri Zainuddin untuk menutup sekolah tahfiz di seluruh negara.

“Sepatutnya kita bantu baiki dan memperkasakan sekolah tahfiz di negara ini kerana ia akan melahirkan ramai insan kamil yang berilmu sekaligus menjadikan negara makmur dengan mendapat rahmat dari Allah sebagaimana disebut dalam al-Quran,” kata Datuk Azhar kepada Independent di pejabatnya di Meru Permai, Ipoh pada Isnin.

Zainuddin dalam blognya zamkata.blogspot.com kelmarin meminta Mujahid menutup sekolah tahfiz sebagai usaha membawa keluar umat Islam daripada ‘amalan agama jumud’. Beliau yang dikenali sebagai Zam dalam blognya turut mendakwa sekolah tahfiz di negara ini tidak memberi harapan kepada masa hadapan generasi baharu Islam.

“Saya merasakan sekolah tahfiz harus dikekalkan…. sebenarnya masa depan kita ini sejauh mana kita berusaha dan akhirnya ketentuan Allah itu yang benar… kita harus menuntut ilmu di dunia dan ilmu akhirat jadi apa masalah pelajar mahu menghafal Quran dan sebagainya?

“Bagi saya kerajaan manapun galakkan semua pelajar Islam kita belajar Al-Quran, bukan setakat sekolah tahfiz, di sekolah biasa pun ada juga kelas agama… kita nak melahirkan insan kamil.

“Contohnya seorang doktor dia juga adalah seorang tahfiz, seorang pilot dia juga tahfiz, seorang menteri besar dia juga tahfiz…. maknanya profesion kerjanya tapi pada masa yang sama mereka juga tahfiz.

“Kita dapat melahirkan insan yang bertakwa kepada Allah… disamping menjalankan tugas secara profesional dia juga akhirnya patuh dengan kehendak Allah…. semua perbuatannya nanti dia akan bersandar dengan ilmu Allah.” kata Datuk Azhar.

Beliau berkata, Tan Sri Zainuddin harus menerima hakikat kebenaran bahawa selama ini sekolah pondok tahfiz telah banyak melahirkan para ulama tesohor yang berjasa dalam meninggikan syiar Islam di negara ini.

“Sekolah pondok agama tahfiz sudah wujud sekian lama di peringkat akar umbi di negeri-negeri tanah Melayu di nusantara ini umpamanya di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang di mana ramai ulama tersohor dilahirkan dari sekolah-sekolah dan pondok agama ini,” katanya.

Exit mobile version