Independent

Doa dan Harapan Rakyat Iringi kejayaan PH Dalam PRU-14

Reading Time: 2 minutes

Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mengatakan bahawa doa dan harapan dari rakyatlah yang mengiringi kejayaan Pakatan Harapan menumbangkan parti gergasi yang telah memerintah sejak negara merdeka lebih 60 tahun dahulu.

“Kita hanya ada satu senjata iaitu doa dan harapan … dengan sekelumit harapan itulah kita gagahkan juga menjunjung panji perjuangan,” kata Ahmad Faizal.

Beliau seterusnya mengulas kejayaan Pakatan Harapan dalam menumbangkan parti gergasi yang telah memerintah selama 60 tahun adalah kerana rakyat tidak sanggup lagi berkompromi melihat perkara² sumbang yang dilakukan pemimpin terdahulu.

Katanya, semasa berkempen dalam Pilihan Raya ke-14 yang lalu, berbagai halangan dan usaha untuk mematahkan semangat perjuangan dilakukan namun mereka di dalam Pakatan Harapan yang datang dari pelbagai latarbelakang parti berbeza tetap bersama-sama atas nama perjuangan dan melupakan permusuhan dan perselisihan lampau demi rakyat yang dahagakan pembelaan dan pembebasan.

“Kemungkaran yang dilakukan pemimpin terdahulu tanpa segan silu menjarah berbilion ringgit khazanah negara menjadi pemangkin kepada pemuafakatan di antara gabungan parti yang berbeza ini.

“Di atas nama perjuangan menegakkan keadilan dan memerdekakan tanah keramat ini daripada pentadbiran ‘kleptokrat’, kita telah bersatu di bawah satu panji,” katanya.

Tambah beliau, biarpun poster dan kain rentang dikoyak serta dicacatkan dan wajah pemimpin digunting serta terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menampung perbelanjaan parti, mereka tetap teguh bersatu hati dan tidak sekali berundur dari medan pertempuran.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Perutusan khas Menteri Besar Perak Sempena Setahun Malaysia Baharu sebelum majlis berbuka puasa di Kediaman Menteri Besar (Lama) di Ipoh malam tadi.

“Alhamdulillah rakyat yang enggan berkompromi dengan perbuatan sumbang pemimpin terdahulu bangkit untuk menyahut seruan selamatkan Malaysia.

“Tarikh keramat 9 Mei 2018 akan kekal dalam lipatan sejarah umpama hikayat si kerdil menumbangkan gergasi, umpama hikayat David dan Goliath, maka terbentuklah kerajaan Pakatan Harapan di peringkat persekutuan,” kata lagi.

Usai majlis iftar dan solat Maghrib berjemaah, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menurunkan tandatangan masing di billboard sempena meraikan Setahun Malaysia Baharu.

Turut bersama dalam majlis ialah ADUN Manjoi, Asmuni Awi, ADUN Sungai Rapat, Dato Seri Nizar Jamaluddin, ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing, ADUN Aulong, Nga Kor Ming, ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How, ADUN Jalong, Loh Sze Yee, ADUN Ipoh Timur, Wong Kah Woh, ADUN Pantai Remis, Wong May Ing, Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar dan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Exit mobile version