IPOH: BEKAS Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sudah pun mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Raja Dihilir di Ipoh, dalam tempoh 10 hari.
Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad, Zambry juga sudah mengosongkan kediaman rasmi berkenaan dalam tempoh yang lebih awal berbanding tempoh tiga bulan yang diberikan kepadanya untuk berbuat demikian.
“Dr Zambry mengambil masa lebih kurang 10 hari untuk mengosongkan kediaman rasmi berkenaan bagi memindahkan barang peribadi beliau.
“Kediaman berkenaan sudah diduduki selama lebih lapan tahun dan adalah tidak logik untuk memindahkan semua barangan peribadi dalam masa sehari,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Saarani mengulas kenyataan yang dikeluarkan seorang pengguna laman Facebook yang menggunakan nama Mariam Mokhtar Admrl-Gen yang mempertikaikan tindakan Zambry yang masih belum mengosongkan kediaman berkenaan selepas tidak lagi bergelar Menteri Besar.
Individu berkenaan juga turut memuat turun kenyataannya melalui laman YouTube yang berdurasi selama kira-kira tiga minit mempertikaikan tindakan Zambry masih mendiami kediaman rasmi berkenaan dan mendakwa tempoh sehari memadai untuk memindahkan semua barangan peribadi yang ada.
Saarani berkata, ketika Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran Perak pada 2009, tempoh masa yang sama turut diberikan kepada bekas Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin untuk mengosongkan kediaman rasmi berkenaan.
“Buat makluman, Kerajaan Negeri BN dahulu pun beri masa tiga bulan untuk Datuk Seri Nizar dan beliau gunakan masa itu sepenuhnya,” katanya.