Independent

EVE Energy Adakan Majlis Pecah Tanah Kilang di Kulim

Reading Time: 2 minutes

Kuala Lumpur, 7 Ogos 2023 – EVE Energy Co. Ltd., pengeluar bateri litium global terkemuka, hari ini mengumumkan majlis pecah tanah untuk kemudahan pembuatan baharunya di Kulim, Kedah, Malaysia.

Kilang baharu itu, yang akan menjadi kilang ke-53 EVE, akan mempunyai pelaburan awal sebanyak USD422 juta dan akan menumpukan pada pengeluaran bateri litium-ion silinder untuk menyokong perkakasan kuasa dan pembuatan dua roda elektrik di negara ini dan di seluruh Asia Tenggara.

Majlis tersebut dihadiri oleh YB Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman bin Ku Ismail, Exco Kanan Perindustrian dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi Negeri; Cik Lim Bee Vian, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA); Encik Noor Ikhsan Bin Abdul Aziz, Ketua Pegawai Operasi Invest Kedah; Dr Haji Nadzman Bin Mustaffa, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPKK); Encik Zhou Youbin, Konsulat Jeneral China di Pulau Pinang; Encik Joe Chen, Pengarah EVE Energy Malaysia Sdn. Bhd., serta tetamu kehormat yang lain.

Dalam ucapannya, Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Kedah melalui Invest Kedah Berhad sebagai Pusat Setempat untuk pelaburan sentiasa bersedia untuk memberi bantuan dan memudahkan proses pelaburan yang lancar, bermula daripada pra-pelaburan sehinggalah ke peringkat pasca pelaburan. Pendekatan hands-on ini adalah salah satu cara mendekati pelabur dengan lebih mesra untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Beliau juga berharap EVE Energy akan terus mengembangkan jejaknya di Kulim dan mencapai kejayaan yang tiada tolok bandingnya dalam operasinya.

Cik Lim Bee Vian, DCEO (Pembangunan Pelaburan) MIDA, berkata dalam ucapannya, “Sambutan hari ini menandakan peristiwa penting yang bukan sahaja memberi manfaat kepada EVE tetapi juga membuka jalan kepada lebih banyak syarikat untuk melabur di Malaysia dalam industri EV dan ekosistemnya. Dengan bekerjasama dengan pemimpin industri seperti EVE, kami boleh memupuk persekitaran inovasi dan kemajuan teknologi.

“Projek ini selaras sempurna dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan Dasar Automotif Negara 2020 (NAP), kerana kami komited untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih-sifar menjelang 2050. Dengan menubuhkan kilang pembuatan bateri silinder ini di Malaysia, kami menunjukkan komitmen kami terhadap daya saing dalam pasaran antarabangsa”, jelas Cik Lim.

Beliau seterusnya menambah, “Ekosistem kami yang teguh, disokong oleh kemudahan R&D dan standard yang kukuh (melalui agensi seperti SIRIM), bersama-sama dengan subsektor komponen yang berkembang maju, meletakkan kami untuk memenuhi keseluruhan rantaian nilai EV.”

“Bergantung kepada kelebihan domestik dan pengalaman operasi EVE, kami akan membina pangkalan pengeluaran bateri silinder di Malaysia untuk menyokong kenderaan dua roda elektrik dan alatan kuasa di Malaysia. Projek permulaan ini akan dibina secara berperingkat, dan tempoh pembinaan tidak melebihi tiga (3) tahun. Ini merupakan peristiwa penting bagi EVE untuk mengembangkan perniagaan global kami, meningkatkan daya saing komprehensif dan untuk mengembangkan lagi bahagian pasaran global kami. Dan yang paling penting, untuk membolehkan kami menyumbang kepada pembangunan ekosistem kuasa elektrik di Malaysia,” kata Encik Joe Chen, Pengarah EVE Energy Malaysia Sdn. Bhd.

Exit mobile version