IPOH | Semua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), perbadanan serta syarikat-syarikat korporat diminta mengambil langkah mengelak pembaziran perbelanjaan ketika mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya.
Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu yang membuat permintaan ini berkata, ia penting bagi memastikan perbelanjaan itu disalurkan kepada perkara-perkara yang baik.
Beliau memuji langkah yang diambil Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) kerana mengadakan jamuan Aidilfitri secara sederhana dan bajet selebihnya digunakan untuk menyumbang kepada hospital bagi kegunaan para pesakit.
“Alangkah baiknya inisiatif seperti ini dapat dijalankan dari segi adanya sedikit jamuan makan namun lebihan perbelanjaan digunakan untuk kegunaan hospital dan kebajikan para pesakit.
“Saya berasa begitu teruja dengan adanya program yang begitu dekat di hati saya malah berasa begitu kagum dengan apa yang dilakukan oleh pihak MB Inc.,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis sambutan Hari Raya bersama pihak MB Inc. dan menyantuni 150 pesakit kanak-kanak di wad pediatrik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Rabu.
Ahmad Faizal berkata, kepada syarikat-syarikat yang berjaya menjana keuntungan, mereka perlu menggunakan keuntungan tersebut untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Hari ini saya berasa begitu terkesan setelah berjumpa dengan para pesakit seperti bayi yang dirundung malang dimana keluarga terpaksa menjaga anak yang sakit sehingga ada yang sanggup datang dari jauh.
“Saya juga ingin menyatakan penghargaan dari seluruh rakyat negeri Perak dan kerajaan negeri kepada semua warga kerja HRPB yang tetap menjaga kebajikan para pesakit walaupun semasa sambutan perayaan,” katanya.
Pada majlis itu, MB Inc. telah menyumbang 10 unit kerusi roda untuk kegunaan para pesakit dan 10 unit pam infuse yang bernilai RM3,000 setiap unit.