KERIAN | Ekoran masalah ulat pengorek batang yang menyerang tanaman padi di Seberang Perak, pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dengan kerjasama beberapa agensi dan juga koperasi pesawah telah mengambil beberapa langkah kawalan dan pencegahan bagi menangani masalah itu.
Antara langkah yang diambil ialah membuat bancian penyakit dan perosak padi, memasang perangkap lampu oleh Biosekuriti Tumbuhan Titi Gantung, mengadakan sesi taklimat berkenaan Kawalan Serangan Perosak Tanaman Padi dengan kerjasama Jabatan Teknikal Jabatan Pertanian.
Kawalan bersepadu dalam menangani permasalahan serangan ulat batang telah dilaksanakan oleh pihak IADA Seberang Perak dengan kerjasama pihak Koperasi Pesawah Blok B.
Kawalan secara kimia menggunakan dron melibatkan 311 lot padi dengan keluasan keseluruhan sebanyak 622 hektar menggunakan kos serta bekalan racun sedia ada dari pihak IADA Seberang Perak dengan kos penyemburan ditanggung oleh pihak Koperasi Pesawah Blok B.
Menurut IADA, kawalan secara bersepadu tahap kehadiran ibu rama-rama ulat pengorek batang dapat dikurangkan dengan signifikan di kawasan Blok B. Pemantauan secara teliti juga dilakukan secara berterusan oleh pegawai IADA Seberang Perak dalam menangani masalah itu.
Serangan ulat batang berlaku pada musim 2 / 2019 di kawasan blok A, B, C, D serta F (awam).
“Untuk Blok F awam, tahap serangan masih belum dapat ditentukan kerana umur padi yang masih muda sekitar 30 Hari Lepas Tanam (HLT). Keseluruhan kawasan IADA Seberang Perak yang diserang Ulat Pengorek Batang yang melepasi kadar ETL adalah dianggarkan seluas 1127 hektar daripada keseluruhan kawasan IADA Seberang Perak (awam) seluas 4584 hektar melibatkan kira – kira 800 orang pesawah,” tambah beliau.