Tindakan sekumpulan orang yang membawa abu mayat Chin Peng dan ditabur di laut berdekatan Lumut dan banjaran Titiwangsa adalah tindakan tidak sensitif terhadap sentimen masyarakat di negara ini. Ini juga menunjukkan masih ada saki-baki pengikut komunis yang, tinggal di negara ini.
Tidak cukupkah mereka melihat bagaimana penduduk Hong Kong menolak mentah-mentah ideologi komunis dari bertapak di wilayah mereka?
Tidak cukupkah mereka membaca bagaimana pelajar ditangkap, disiksa, dan ada juga laporan mengatakan sebahagiannya dirogol lalu dicampak le laut untuk menghilangkan bukti dilakukan oleh polis yang menyokong tanah besar China?
Negara komunis mengamalkan cara pemerintahan satu parti, tidak ada pembangkang.
Komunisme sangat sinonim dengan pemenjaraan dan pembunuhan beramai-ramai yang digelar ‘holocaust’. Di mana saja negara yang dikuasai oleh komunis, beratus ribu malah jutaan rakyatnya dipenjara dan dibunuh hanya kerana tidak bersetuju dengan ideologi komunis.
Menurut R.J. Rummel dalam bukunya Death By Government (1994), seramai tidak kurang dari 110 juta manusia telah dibunuh di bawah rejim komunis sejak 1900 hingga 1987. Jumlah ini merupakan empat kali ganda jumlah penduduk Malaysia.
Mereka yang dipenjara akan disiksa dengan bentuk siksaan di luar peri kemanusiaan. Komunis sangat kejam terhadap sesiapa yang menentangnya.
Pada 2017, Profesor Stephen Kotkin menulis di Wall Street Journal mengatakan “”walaupun komunisme telah membunuh ramai orang dengan sengaja, lebih ramai yang mati akibat kebuluran rentetan projek kejuruteraan sosialnya yang kejam”.
Menurut Klas Goran Karlsson, penulis buku ‘The Holocaust as a Problem of Historical Culture’, ideologi adalah sistem idea, yang tidak boleh melakukan jenayah sewenang-wenangnya. Walau bagaimanapun, individu, kumpulan dan negara yang telah menamakan diri mereka sebagai komunis telah melakukan jenayah atas nama ideologi komunis, atau tanpa menamakan komunisme sebagai sumber motivasi langsung bagi jenayah mereka.
Dari rejim Khmer Rouge yang dahagakan darah, dianggarkan antara 1.6 – 2 juta rakyat Kemboja mati akibat dari Pol Pot.
China hari ini yang disanjung dan dipuja kerana kejayaan dalam bidang ekonomi dan teknologi sebenarnya ada sudut gelap yang dilenyapkan oleh keghairahan pencapaian mereka dalam kejuruteraan landasan keretapi serta lebuhraya di hampir seluruh dunia.
Baru-baru ini dalam satu laporan lebih 400 halaman mendedahkan China menempatkan ratusan ribu tahanan di kem tahanan yang didakwa oleh China sebagai ‘re-education camp’ untuk menangani ancaman terrorisme.
Kebanyakan tahanan adalah dari etnik Uyghur yang beragama Islam yang tinggal di wilayah Xinjiang, daerah yang jauh di sebelah Barat China. Etnik Uyghur tidak mengakui nama Xinjiang sebaliknya ialah Turkistan. Uyghur tidak mempunyai kaitan latar belakang bangsa Cina. Mereka bercakap dalam bahasa Turk. Fizikal mereka juga berbeza dengan Cina.
Kekejaman komunis tidak akan habis kalau dibicarakan di dalam satu halaman. Oleh itu, sebarang unsur-unsur atau bibit-bibit permulaan kepada kembalinya ideologi komunis di negara ini wajib dihapuskan sama sekali dari muka bumi ini. Pihak berkuasa harus memantau dan menyekat elemen-elemen subversif yang mungkin diwujudkan untuk mempengaruhi rakyat negara ini supaya mengikuti mereka.
Kepada ideologi atau fahaman komunis, katakan TIDAK sama sekali.