Independent

Istana Kelantan tarik balik darjah kebesaran Annuar Zaini

Reading Time: < 1 minute

Malaysiakini – Istana Kelantan hari ini mengumumkan penarikan balik darjah kebesaran yang diberikan kepada Ahli Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini, berkuat kuasa Jumaat lalu.

Darjah kebesaran itu ialah Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK).

Setiausaha Negeri Kelantan, Nazran Muhammad, menerusi kenyataan media berkata, penarikan balik darjah kebesaran itu adalah hak Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Muhammad V, yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara baginda.

“Adalah dimaklumkan bahawa kerajaan negeri Kelantan sudah mewartakan Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salahguna) (Pindaan) 2015 pada 27 Ogos 2015.

“Enakmen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun bagi mana-mana orang yang menggunakan apa-apa Darjah, Tanda Kebesaran, Pingat, Lambang dan Bintang Kebesaran yang pernah dikurniakan oleh Sultan yang sudah ditarik balik oleh baginda.

“Enakmen ini juga memberi kuasa kepada polis untuk membuat penyiasatan di bawah enakmen ini termasuk kuasa untuk memasuki premis dan menggeledah serta menyita apa-apa keterangan atau barang kes yang disyaki berkait dengan kesalahan di bawah enakmen itu,” katanya.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa Mohd Annuar yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak sudah dimaklumkan perkara berkenaan menerusi surat yang disampaikan kepadanya pada Jumaat lalu.

Untuk rekod, Mohd Annuar pernah dilantik menjadi pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 2004 dan berkhidmat sehingga 2010. – Malaysiakini

Exit mobile version