Independent

Jangkitan Covid-19 di Sabah Terkawal – KP Kesihatan

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Penularan kes koronavirus di Sabah adalah terkawal kerana ia hanya terhad di dua lokasi iaitu di lokap ibu pejabat polis daerah Lahad Datu dan Penjara Tawau, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, jangkitan di Lahad Datu dan Tawau bukan di dalam komuniti setempat tetapi di lokasi tertentu.

“Ia adalah keadaan yang sama sebelumnya ketika 277 kes COVID-19 dilaporkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil,” katanya pada sidang media COVID-19 di Kementerian Kesihatan, di sini, pada Selasa.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks di kluster Benteng Lahad Datu adalah dua pendatang tanpa izin yang ditahan dan diuji positif semasa ujian saringan.

“Pengesanan pendatang tanpa izin perlu dipergiat untuk mengekang kemasukan mereka melalui ‘laluan tikus’ untuk mengekang penyebaran COVID-19 kepada penduduk di Sabah,” katanya.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi, Dr Noor Hisham mengingatkan mereka yang akan terlibat agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sama ada pekerja kesihatan atau tidak dan yang lain di Sabah, semua harus mematuhi SOP. Sekiranya kita mematuhi SOP, kita dapat mengelakkan daripada dijangkiti (dengan COVID-19).

“Jika ada perhimpunan, risiko (dijangkiti) akan meningkat jika tidak ada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup separuh muka dan tidak mencuci tangan.

Mengenai kluster Sungai, Dr Noor Hisham mengatakan bahawa 23 kes positif baru COVID-19 yang dilaporkan melibatkan pekerja kesihatan dan ahli keluarga mereka.

“Daripada keseluruhan 16 kakitangan kesihatan COVID-19 yang didapati positif …. salah satunya telah menjangkiti tujuh anggota keluarga.

“Kementerian Kesihatan masih melakukan kajian menyeluruh terhadap kes ini. Saya ingin mengingatkan pekerja kesihatan untuk memakai alat pelindung diri terlebih dahulu sebelum memeriksa pesakit yang datang ke hospital, “tambahnya.

Exit mobile version