Independent

Kerajaan Perak tidak Ketahui Urusan Bawa Pulang Abu Mayat Chin Peng

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kerajaan negeri Perak tidak mengetahui  urusan membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negeri itu pada 16 September lalu.

Menurut Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, urusan berkenaan tidak melalui kerajaan negeri malah tiada sebarang makluman diterima sehinggalah ia tersebar menerusi sidang media oleh sebuah kumpulan, Selasa lepas.

“Saya juga tidak tahu mengenai perkara ini kerana tidak melalui kerajaan negeri, hanya disebut oleh sebuah kumpulan.

“Bagi saya tidak perlu kita bincangkan perkara itu dan sebaiknya serah kepada polis yang telah pun menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Perak SADC AgroFest 2019 dan Direktori PPPNP Anti Rasuah di Ipoh pada Jumaat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan, pihaknya sudah mengenal pasti dua individu yang terbabit dalam urusan membawa pulang abu mayat Chin Peng ke Malaysia.

Kedua-dua individu itu telah dipanggil untuk memberi keterangan namun tidak mendedahkan sama ada mereka hadir atau belum.

Exit mobile version