Independent

Kerajaan PH Tidak Sesekali Ketepikan Perjuangan Orang Melayu

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu menegaskan beliau bukan seorang yang mahu mengejar kuasa dan mengenepikan perjuangan orang Melayu di negeri ini.

Katanya, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri tidak akan sesekali mengenepikan agenda perjuangan bangsa Melayu. Katanya, sebelum beliau memasuki arena politik lagi aspek kebajikan bangsa Melayu dan juga masyarakat daripada kaum lain sentiasa dititikberatkan.

Menurut Ahmad Faizal, walaupun kini menjawat jawatan nombor satu di Perak namun sifat dan prinsip dirinya tidak berubah.

“Walaupun logo parti saya daripada ketajaman dua keris, menjadi kepada kecantikan sekuntum bunga, kami tidak akan sesekali mengkhianati perjuangan orang Melayu.

“Saya bukan seseorang yang mahu mengejar kuasa dan mengenepikan perjuangan orang Melayu.

“Kalau semua yang kenal ‘Peja’ yang pernah berniaga burger di Pekan Razaki, mandi di Sungai Kepayang, dan berjalan merata di Ipoh, saya masih Peja yang sama”, katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Jalinan Kasih dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Perak, di Dewan Bulan Sabit Merah, Ipoh pada Rabu.

Ahmad Faizal menyeru masyarakat umum untuk menegur dirinya sekiranya terdapat sebarang kepincangan ketika melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar yang baharu. Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Permuafakatan Melayu Perak (PPMP), Kahar Md Yassin.

Beliau juga menyeru masyarakat Melayu supaya menyemai perasaan cinta akan bangsa, agama dan negara dengan lebih mendalam.

“Kalau kita sayangkan bangsa, tapi tak pedulikan pendidikan anak-anak kita, biarkan anak-anak kita berpeleseran di merata-rata, membiarkan pemimpin rasuah, jangan kita mengaku kita orang Melayu sejati,” ujarnya.

Exit mobile version