Independent

KL Summit 2019: Malaysia Harus Terus Berkecuali – Zambry

Reading Time: 3 minutes

ULASAN | KL Summit 2019 yang dianjurkan kali ini nampaknya mendapat pelbagai reaksi. Sememangnya sukar untuk mengadakan sebuah perjumpaan besar umat Islam bagi membincangkan masalah dan krisis yang sedang dihadapi mereka.

Saudi, UAE, dan OIC mengambil pendirian tegas dengan menempelak persidangan yang dianjurkan oleh Kuala Lumpur ini. Alasan yang digunakan ialah ia boleh memecah-belahkan perpaduan di kalangan negara-negara umat Islam.

Justeru Pakistan yang merupakan antara negara umat Islam yang besar tidak menghadirinya. Demikian juga Indonesia tidak menghantar pimpinan utama negara.

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan yang telah menyatakan hasrat yang serius untuk datang tetapi memutuskan untuk tidak hadir di saat akhir, dipercayai akibat daripada tekanan oleh kerajaan Saudi.

Persidangan yang dianggap penting dalam menyatukan suara ummat Islam dalam menghadapi isu dan krisis besar Islamophobia, perpecahan mazhab, pemisahan blok dan axis, krisis ekonomi, pembunuhan umat Islam di merata tempat, krisis pelarian dan immigrasi, dan sebagainya, terbenam di sebalik krisis perpecahan blok antara blok Saudi dan blok Qatar.

Malaysia yang awalnya tidak berada dalam mana-mana blok seperti terheret sama berada dalam kelompok blok Qatar, Iran dan Turki.

Saya percaya niat sebenar Malaysia adalah untuk mencari jalan penyatuan dan mengadakan perbincangan di kalangan 50 buah negara umat Islam bagi membincangkan pelbagai isu.

Apa yang sebaliknya berlaku telah memberi kesan besar terhadap imej Malaysia sebagai sebuah negara yang sangat dihormati di kalangan negara-negara umat Islam.

Doktrin diplomasi Malaysia selama ini ialah bersikap berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara umat Islam.

Keadaan politik di Timur Tengah sekarang ini ialah wujud dua blok yang sedang bergaduh besar iaitu blok Saudi dan blok Qatar.

Ia berpunca dari dua isu utama yang meletakkan beban tuduhan ke atas Qatar iaitu isu bahawa Qatar menyokong kumpulan pengganas seperti al-Qaeda dan Ikhwan al-Muslimin.

Manakala tuduhan kedua ialah hubungan Qatar dengan Iran yang dianggap menjejaskan kedudukan negara-negara yang berada di bawah naungan Saudi.

Ia berlarutan sehingga membawa terputusnya hubungan diplomatik antara Qatar dan blok Saudi seawal 5 Jun 2017.

Hal ini terbawa-bawa sehingga melibatkan konflik diplomatik yang serius melibatkan kuasa-kuasa utama negara umat Islam seperti Turki dan Iran yang berdiri teguh membantu Qatar ketika negara ini menghadapi sekatan ekonomi dan laluan udara oleh Saudi dan sekutunya.

Idea mengadakan KL Summit 2019 dalam bentuk lebih besar pula adalah lanjutan daripada pertemuan tiga pemimpin utama Malaysia, Turki dan Pakistan di New York pada September 2019 yang lalu.

Hasratnya ialah untuk bekerjasama membetulkan persepsi yang salah terhadap Islam dan membawa isu-isu yang sedang dideritai oleh umat Islam di seluruh dunia.

Malah Perdana Menteri Pakistan Imran Khan turut mencadangkan agar sebuah saluran berbahasa Inggeris diwujudkan bagi membetulkan salah tanggapan terhadap Islam.

Namun Tun barangkali memahami akan risiko yang dihadapinya apabila beliau memberikan indikasi bahawa apa yang dilakukan ini ( KL Summit 2019) adalah sebagai permulaan usaha kecil melibatkan beberapa negara umat Islam.

Pun begitu, apabila Imran Khan yang menjadi antara pemimpin penting menarik diri, maka ia memberi kesan yang kurang baik.

Ditambah pula dengan kehadiran Presiden Iran, Emir Qatar dan Presiden Turki , yang menjadi saingan kepada blok Saudi, maka keadaan menjadi lebih sulit.

Jemputan di kalangan penggerak dan pertubuhan umat Islam di Malaysia juga khabarnya tidak menyeluruh. Sebagai contoh ketika DS Haji Hadi dijemput menghadirinya, wakil dari lain-lain parti seperti UMNO pula tidak dijemput.

Sedangkan ketika Kongres Maruah Melayu hendak dianjurkan, semua parti dijemput termasuk UMNO.

Malah dikhabarkan orang penting dalam kerajaan seperti Timbalan Perdana Menteri, DS Anwar Ibrahim, TS Muhyiddin Yassin, tidak dilibatkan secara aktif.

Tetapi kalangan menteri seperti Zuraida, Azmin, Maslee, dan Mukhriz difahamkan begitu aktif berperanan.

Sekiranya KL Summit ini mencari jalan penyelesaian terhadap pelbagai isu yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia, maka ia harus bermula dari rumahtangga sendiri.

Manakala di peringkat antarabangsa pula, usaha yang cuba diusahakan oleh Tun M tidak harus membawa kita berpecah sesama sendiri dalam negara ini, sehingga terbawa-bawa untuk menyebelahi salah satu blok Arab yang sedang bertelagah.

Malaysia perlu kembali membina hubungan baik dengan semua negara, sambil berusaha menjadi penggerak penyatuan negara umat Islam tanpa dibatasi oleh blok dan fahaman.

Barangkali niat kita baik untuk menjuarai isu yang dihadapi dengan mengumpulkan negara-negara umat Islam, kumpulan masyarakat madani dan kelompok pemikir dalam pelbagai bidang ekonomi, sains dan teknologi, komunikasi, strategis dan polisi.

Tetapi apabila sesi perbincangan dikuasai oleh kelompok gerakan tertentu dan diwakili oleh satu kelompok sahaja maka ia tidak memberi kesan polisi yang besar.

Sebagai contoh, apabila wakil Palestin yang datang hanya mewakili satu kelompok sahaja, maka ia tidak membawa kesan kepada usaha-usaha penyatuan di kalangan mereka.

Khabarnya Presiden Turki Erdogan datang bersama delegasi tertingginya dengan diiringi para menteri dan pegawai-pegawai utamanya.

Beliau datang dengan sebuah harapan yang tinggi. Tetapi beliau pulang dengan sebuah pertanyaan tentang apakah yang sebenarnya hendak dicapai dari KL Summit.

Apa yang diharapkan KL Summit 2019 bukan menjadi tinggalan legasi yang tidak menjanjikan apa-apa tindakan bersama.

Ia diharapkan tidak menjadi “public relation exercise” semata-mata buat Malaysia.

Carilah jalan untuk menjernihkan kembali hubungan dengan semua negara, sambil mengingatkan mereka bahawa cabaran yang dihadapi oleh negara-negara umat Islam adalah sangat kritikal.

Lantaran itulah Malaysia ingin menyumbang ke arah penyatuan dan kebangkitan semula.

Dr Zambry Abd Kadir
22.12.2019

Exit mobile version