Independent

Koronavirus: Perjuangan Masih Panjang – Dr Noor Hisham

Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA | Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian hari ini berkata sebanyak 4,032 pesakit koronavirus di negara ini telah sembuh dan dibenarkan pulang. Ini menjadikan peratusan sembuh telah mencapai 69% dari jumlah keseluruhan kes positif yang direkodkan sejak awal tahun ini.

Hari ini, sebanyak 31 kes baru dilaporkan – jumlah terendah sejak 20 Apr lalu. Jumlah kes sembuh yang dilaporkan pada hari ini adalah sebanyak 75. Kes yang masih aktif dan sedang dirawat adalah 1,718.

Namun terdapat satu kematian dilaporkan melibatkan seorang lelaki berusia 67 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan jantung. Jumlah kematian setakat ini adalah 100 kes.

Kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif adalah 36 manakala 17 darinya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Carta kes koronavirus di Malaysia menunjukkan trend semakin mendatar

Menurut Dr Noor Hisham, Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan setakat ini telah menunjukkan hasil yang positif di mana kadar kelengkungan telah berjaya dilandaikan namun mengingatkan bahawa perjuangan melawan virus ini masih panjang dan usaha melawan wabak ini masih perlu diteruskan.

“PKP tidak boleh menghapuskan virus ini sepenuhnya. Malahan masyarakat perlu bersedia menghadapi virus ini untuk tempoh yang lebih panjang.

“Kementerian Kesihatan akan meneruskan aktiviti-2 pembendungan dan pengawalan meskipun penglibatan aktif rakyat adalah amat penting sekali.

“Justeru dua tindakan yang telah dan perlu terus diambil oleh rakyat dan penduduk Malaysia dalam memerangi Covid-19 adalah meneruskan amalan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangnya 1 meter dan juga menjaga tahap kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau sanitizer,” nasihat Dr Noor Hisham.

Exit mobile version