Independent

Langkah BERSATU Terima Kemasukan Pemimpin UMNO Khianati Amanah Rakyat?

Reading Time: 3 minutes

ULASAN: Kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamed baru-baru ini bahawa parti itu sudahpun menyatakan kesediaan untuk menerima kemasukkan ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri UMNO kini mengundang reaksi negatif bukan sahaja daripada kalangan pemimpin Pakatan Harapan malah penyokong PH sendiri.

Mereka menyangah keputusan yang diambil itu kerana ia seolah-olah menggambarkan PH sudah ketandusan barisan kepimpinan yang berwibawa sehingga sanggup menerima masuk Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed) ke dalam Bersatu.

Mereka kecewa kerana keputusan yang diambil itu tidak mengambil kira suara kepimpinan parti-parti dalam komponen PH dan penyokong parti yang selama ini berkhidmat matian-matian untuk menumbangkan UMNO dan BN pada PRU14 lalu tetapi akhirnya pemimpin-pemimpin ini pula menerima sanjungan tinggi.

Terbaru kelmarin Pengerusi DAP Tan Kok Wai menegur dan mempersoalkan keputusan yang diambil parti komponen PH itu. Kok Wai berkata, amalan parti komponen PH menerima ahli parlimen yang pernah berada dalam UMNO sebagai `tidak sihat’.

Namun Ketua PPBM , Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dilihat sebelum ini antara pemimpin yang secara terang-terangan berani menghentam pemimpin-pemimpin UMNO tapi kini sudah berubah nada suaranya.

Beliau pula yang menegur Kok Wai dan berkata Pengerusi DAP itu sepatutnya merujuk kepada Majlis Presiden dan Tun Dr Mahathir Mohamad terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Saya rasa tak betul untuk Kok Wai mengeluarkan kenyataan seperti itu sebelum dibincangkan dengan Perdana Menteri Malaysia.

“Sebagai contoh kita lihat saudara Mat Sabu (Mohamad Sabu) sendiri berkata penyertaan Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) akan memberi sinaran baru di Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.

Di Perak, Penyelaras Pakatan Harapan (PH) Supporters Negeri Perak, Roslan Ali mengutuk keras keputusan Bersatu menerima masuk pemimpin UMNO ke dalam parti itu yang disifatkannya sebagai satu `kesilapan besar’ ibarat menyuntik `kuman ke dalam badan yang sihat’ yang boleh mencambakkan lagi budaya amalan rasuah kronisme ke dalam parti.
Beliau secara sinis menegur langkah yang diambil Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir sebagai `lidah bercabang’ yang berbeza ungkapan pernah beliau (Tun M) ungkapkan sebelum ini iaitu PH tidak akan benarkan pemimpin UMNO masuk PH.

“Saya merasa amat kecewa keputusan yang diambil Tun M pada hari ini … .penat kami bekerja keras selama ini berkempen memenangkan PH pada PRU14 lalu tetapi malangnya begini pula jasa kami dibalas.

“Penat kami berusaha memenangkan PH belumpun hilang lagi tetapi dikejutkan keputusan Bersatu untuk menerima masuk pemimpin-pemimpin UMNO yang mempunyai rekod tidak baik di mata rakyat.

“Sepatutnya Tun M memberi tumpuan kepada agenda untuk membawa pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat bukannya menimbulkan isu-isu yang mengundang kemarahan rakyat seperti mahu menerima kemasukan pemimpin UMNO ke dalam parti komponen PH itu.

“Sedarlah bukankah rakyat yang telah menolak UMNO dan BN pada PRU14 lalu jadi kenapa pula hari ini mahu mengambil mereka semula untuk masuk Bersatu?

“Tidakkah tindakan yang diambil Tun M ini mengkhianati amanah rakyat?” katanya kepada Independent.my pada Selasa.

Kelmarin Timbalan Presiden Bersatu. Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata , Ahli Parlimen UMNO dari Parlimen Pekan, Bagan Datuk, Baling dan Padang Rengas adalah antara yang tidak akan dipertimbangkan sama sekali untuk dibenarkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) jika pihak berkenaan mempunyai hasrat untuk menyertai parti itu.

Beliau berkata, BERSATU kini sudah pun mempunyai 14 wakil dalam parlimen dan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pun menyatakan kesediaan untuk menerima sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai parti itu namun perlu memenuhi beberapa syarat tertentu.

“Kita tidaklah terlalu terbuka sehingga individu seperti Ahli Parlimen Pekan (Datuk Seri Najib Razak), Bagan Datuk (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim) dan Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) nak masuk …. itu tak bolehlah dan tak payahlah … kerana mereka ini dalam senarai yang tidak akan kami pertimbangkan (untuk sertai BERSATU).

“Jadi, bagi yang lain-lain (Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) jika berminat untuk menyertai kita adalah amat dialu-alukan dengan syarat mereka harus meninggalkan amalan yang tidak baik dan tidak sihat ketika berada dalam UMNO dan mendukung budaya politik baru mengikut Pakatan Harapan (PH) terutama BERSATU,” katanya.

Exit mobile version