Independent

Laporan Siasatan PAC ke Atas MB Inc. Akan Dibentang Dalam Dewan – Pengerusi PAC

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Laporan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak ke atas Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) yang telah selesai dijalankan akan dibentang dalam Sidang Dewan Undangan Negeri bulan ini.

Menurut Pengerusinya, Leong Cheok Keng, pihaknya  dalam peringkat menyiapkan laporan itu sebelum dibentang di dalam Sidang Dewan.

Pengerusi PAC, Leong Cheok Keng

Leong berkata, pihaknya juga akan mengemukakan cadangan usul kepada Speaker DUN, Datuk Ngeh Koo Ham bagi membolehkan laporan tersebut dibahaskan.

“Ini merupakan perkara bersejarah kerana belum pernah ada usul dibawa ke dalam Dewan berkaitan MB Inc.

“Usul ini akan membincangkan beberapa perkara dan tajuk usul ini adalah Penambahbaikan Urusan Pentadbiran dan Pengurusan Perbadanan MB Inc,’’ katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media DUN Perak pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Pengerusi PAC, Chong Zhemin bersama empat ahli PAC Perak yang lain termasuk Adun PAS Gunung Semanggol, Haji Razman Zakaria yang juga Pesuruhjaya PAS Perak.

Cheok Keng menambah, sebarang tindakan lanjut berkaitan laporan tersebut akan diputuskan oleh Koo Ham dan ADUN yang akan bersidang tidak lama lagi.

Menurut beliau, sejak siasatan yang bermula November tahun lalu, PAC telah memanggil enam saksi termasuk bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir memberikan keterangan.

“Kita akui terdapat kelewatan untuk menyiapkan siasatan disebabkan pada peringkat awal berlaku salah faham mengenai prosiding siasatan yang ingin dibuat secara terbuka atau sebaliknya.

“Namun, kita menghormati semua pandangan dengan meneruskan siasatan melalui prosiding secara tertutup walaupun Speaker DUN telah menetapkan bahawa PAC boleh jalankan prosiding secara tertutup atau terbuka,’’ katanya.

Pada 26 November 2018, Zambry mempertikai tindakan PAC Perak yang bertindak mengadakan sesi pendengaran awam bagi siasatan ke atas perbadanan itu kerana tidak mengikut amalan biasa.

Pada sidang media itu,  Cheok Keng turut menjelaskan terdapat dua lagi kes yang akan disiasat PAC iaitu pertama membabitkan pengurusan Taman Teman Studio Animasi (MAPS) dan kes tuntutan sebuah firma arkitek ke atas Perak Corporation Berhad. Firma itu masih lagi menuntut baki bayaran yang didakwa belum dilangsaikan walaupun tiada projek yang dijalankan.  

Exit mobile version