Independent

Mahasiswa UniKL RCMP Dapat Peluang Kenali Khazanah Hutan

Reading Time: 3 minutes

CHEMOR | Seramai 91 orang pelajar Diploma Farmasi Semester 1, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) berpeluang mengikuti Program Cakna Komuniti di kawasan Perkelahan Ulu Chepor, Chemor pada hari ini.

Program bertemakan “Sayangi Sungai dan Hutan Kita” ini berjaya mendedahkan pelajar keadaan sungai yang menjadi tumpuan orang ramai berkelah khususnya pada hari cuti. Selain itu, aktiviti jungle tracking turut mendedahkan kepada para pelajar pelbagai spesis tumbuhan yang terdapat di dalam hutan berhampiran pusat perkelahan ini.

Pensyarah Penasihat, Ibrahim Ahmad berkata, program julung-julung kali diadakan ini berjaya membuka minda para pelajar untuk mengetahui lebih dekat lagi keadaan sungai dan pelbagai spesis pokok serta tumbuhan di dalam hutan tersebut.

“Para pelajar dapat melihat sendiri keadaan sungai yang masih terpelihara keindahannya. Kawasan air terjun ini belum tercemar … kawasan hutan simpannya masih terpelihara dan kaya dengan pelbagai pokok dan tumbuhan yang penting sebagai penyokong ekosistem kehidupan manusia.

“Justeru, pelajar perlu diberi kesedaran melalui aktiviti ‘turun padang’ bagi melihat sendiri keadaan alam sekitar”, ujarnya yang juga Pensyarah Kursus Pengajian Malaysia dan Hubungan Etnik.

Menurut, Muhammad Rasyidul Amin Bin Rithuan, beliau bangga kerana dapat mengetahui pelbagai jenis pokok dan tumbuhan yang terdapat di sekitar kawasan perkelahan itu.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya dan rakan-rakan merasai sendiri suasana hutan yang masih segar. Pemandangan di dalam kawasan hutan sungguh indah, apatah lagi deruan air terjun yang sangat mengujakan kami.

“Sebagai pelajar farmasi, pengetahuan pelbagai spesis tumbuhan apatah lagi yang dijadikan ubat-ubatan adalah sangat bermanfaat. Terima kasih kepada UniKL RCMP, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Ulu Chepor, wakil Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung dalam menjayakan program ini”, katanya yang juga pengarah program.

Seorang peserta yang ditemui, Farah Wajihah Binti Razak pula berpendapat program ini sangat bermanfaat kepada pelajar.

“Saya teruja ketika berada di kawasan ini. Selain dapat mengenali spesis-spesis tumbuhan dan kegunaannya, aktiviti jungle tracking yang mencabar menguji semangat kerjasama dan ketahanan minda sesama peserta. Pengalaman merentas hutan yang masih ‘asli’ memberi kesedaran kapada saya betapa pentingnya khazanah hutan sebagai pembekal oksigen kepada manusia,” katanya.

Sementara itu Encik Hazli yang mengetuai jungle tracking dan bertanggungjawab dalam aspek keselamatan berasa bangga kerana diberi peluang bersama-sama kumpulannya menjayakan program ini.

Sebelum acara penutup, pertandingan mewarna gambar alam sekitar dijayakan oleh murid-murid Tabika Kemas Kampung Pasir, Chemor. Acara penutup disempurnakan oleh Pengerusi MPKK Ulu Chepor, En Md. Zuki Abd. Rahman. Beliau berharap pihak UniKL RCMP dapat bekerjasama dengan MPKK dalam menjayakan pelbagai program berkaitan alam sekitar. Turut menyertai program ini ialah Cik Azizawati, Ketua Program Farmasi UniKL RCMP, Kapt. Bersekutu (PA) Ustaz Ahmad Zullaili dan Adlyrich Enterprise yang merakam perjalanan program ini.

Disediakan oleh Ibrahim Ahmad

Exit mobile version