Independent

MB Nafi PH Gadai Kepentingan Agama, Kaum Demi Kuasa

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Dato’ Azumu menafikan penyebaran fitnah pihak-pihak yang terdesak kononnya kepimpinan Melayu Pakatan Harapan (PH) akan menggadaikan kepentingan agama dan kaum demi kelangsungan kuasa.

Katanya, fitnah ini semakin melarat sehingga timbul kononnya kerajaan akan menukar masjid-masjid kepada gereja manakala ada kalangan pemimpin bukan Islam Pakatan Harapan mendesak supaya agama rasmi ditukar kepada agama Kristian.

“Kita tertanya-tanya adakah fitnah-fitnah ini disebarkan oleh pihak yang terdesak demi meneruskan kelangsungan politik sempit mereka setelah ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

“Saya dengan ini menafikan semua fitnah dan tuduhan liar ini… Saya tegaskan, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan tidak akan sama sekali menggadaikan agama dan bangsa ini,’’ kata Ahmad Faizal.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A. Sivanesan pada Sambutan Minggu Perpaduan dan Rumah Terbuka Aidilfitri 2018 Peringkat Negeri Perak di Arena Square Batu Gajah pada Ahad. Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Baharin Idris.

Ahmad Faizal seterus menjelaskan pendekatan terbuka yang diamalkan Pakatan Harapan hari ini tidak bermakna akan menjual agama dan bangsa demi kuasa.

“Anehnya pihak yang menimbulkan fitnah-fitnah tersebut hanya diam menikus apabila pemimpin sebelum ini dengan rakus berbuat salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan tetapi pada masa yang sama mendakwa memperjuangkan bangsa dan agama.

“Mereka seharusnya jujur kepada diri sendiri, apakah dalam ajaran Islam membenarkan pemimpin menyeleweng, tidak amanah dan menekan kehidupan rakyat?,’’ katanya.

Sehubungan itu Ahmad Faizal menyeru rakyat Perak supaya tidak terpedaya dengan tindakan terdesak sesetengah pihak kerana harga perpaduan itu terlalu besar untuk dikorbankan demi kelangsungan politik sempit yang tidak menguntungkan rakyat dan negara.

 

Exit mobile version