EPILOG pula adalah tulisan di akhir sebuah karya kreatif.
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam hari ini mengakui, memang ada rancangan untuk menubuhkan kerajaan campuran oleh pemimpin-pemimpin parti itu selepas tewas pada Pilihan Raya Umum, 9 Mei lalu. (Laporan Astro Awani 5 November 2018)
Tidak mustahil Datuk Seri Najib yang merupakan pengerusi Barisan Nasional dan merupakan parti yang memenangi kerusi paling banyak, dapat mentadbir negara ini sebagai “Care Taker Government” selama 3 bulan lagi selepas 9 Mei, 2018. (Laporan MalaysiaKini 4 November 2018)
Hishamuddin Rais juga telah menulis perkara yang sama dalam siri Merakam Sejarah pada 29 Ogos 2018.
Mengikut Lokman, ‘caretaker goverment’ akan diteruskan selama tiga bulan. Manakala Hishamuddin Rais telah menulis bagaimana Dr Wan Azizah meminta agar kerajaan Pakatan Harapan ditangguhkan penubuhan selama dua minggu. Ertinya – selama dua minggu ini Najib akan terus menjaga kerajaan.
Perbezaan hanya pada fakta masa. Lokman melaporkan Najib terus menjadi penjaga kerajaan selama tiga bulan. Manakala Hishamuddin Rais melaporkan kerajaan Pakatan ditangguh selama dua minggu.
Permintaan penangguhan selama dua minggu dari Wan Azzizh ini berlaku pada hari Jumaat 11 Mei 2018 – dua hari salepas kemenangan Pakatan dan sehari sesudah Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Mengikut lojik Wan Azizah, penangguhan ini perlu untuk proses mengampunkan Anwar dan Rafizi. Rafizi perlu dapat pengampunan untuk dilantik menjadi Menteri Kewangan. Wan Azizah tidak bersetuju Lim Guan Eng menjadi pilihan menteri keewangan pertama kerajaan Pakatan Harapan.
Pada 1 September 2018 Malay Mail telah melaporkan kenyataan Anwar Ibrahim yang menuduh Hishamuddin Rais hanya pandai-pandai mereka-reka berita dalam siri Merakam Sejarah. Hishamuddin Rais dituduh sebagai penjilat yang membuat berita berasaskan khabar angin.
Sayugia diingatkan – menjilat ini adalah konsep seksual. Dalam bahasa Inggeris dan istilah LBGT menjilat dipanggil ‘rimming’. Walhal dalam Bahasa Melayu ada konsep pembodek, macai, balaci atau kaki ampu yang memberikan makna yang sama. Mengapa Anwar Ibrahim menggunakan konsep seksual sabagini hanya Guru Nanak yang tahu.
Malah babak Dr Wan Azizah di pelawa oleh Agong untuk menjadi Perdana Menteri juga tepat saperti yang dirakam oleh Hishamuddin Rais. Babak ini diakui sendiri oleh Dr Wan Azizah dalam laporan Berita Harian pada 9 Ogos 2018. Laporan ini memetik taklimat media Wan Azizah ketika melawat Jakarta.
Kenyataan Lokman Adam dan kenyatan Dr Wan Azizzh ini telah membuktikan bahawa apa yang dirakam oleh Hisahmuddin Rais adalah saheh, tepat dan benar. Amin.
Perkara induk sebagai epilog dalam siri Merakam Sejarah ini yang ingin saya hujahkan di sini ialah tentang projek gelap Mat Songel. Apa makna dan implikasi projek Mat Songel ini. Bagaimana anak semua bangsa wajib memahami makna projek ini.
Kenyataan Lokman Adam ini membuktikan dengan jelas kewujudan projek Mat Songel yang mahu menghalang tertubuhnya kerajaan baru Pakatan Harapan.
Projek Mat Songel ini juga cuba menghalang Mahathir Mohamad dari mengangkat sumpah untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.
Lokman Adam secara jujur walaupun tidak disengaja telah membongkar projek gelap Mat Songel. Lokman menerangkan perlu ditubuhkan kerajaan sementara selama tiga bulan untuk membolehkan Najib melakukan perundingan.
Lalu timbul persoalan – dalam masa tiga bulan ini Najib akan berunding dengan siapa? Dengan Agong? Dengan Mahathir? Dengan Lim Guan Eng? Dengan Mat Sabu? Dengan Wan Azizah? Dengan Haji Hadi? Atau dengan Raja Bomoh?
Kenapa saya terus menimbulkan perkara ini?
Dalam siri Merakam Sejarah ini saya menuliskan kembali segala fakta – sebelum – ketika dan sesudah PRU14 – yang saya ketahui. Dalam masa yang sama saya sedar ada babak-babak lain yang tidak saya ketahui. Justeru terpulanglah kepada Si Polan dan Si Anu itu untuk merakamkan babak-babak yang mereka ketahui untuk pengetahuan umum.
Pada hemat saya Si Polan dan Si Anu ini juga memiliki tugas merakam sejarah untuk generasi yang akan datang.
Tujuan saya amat jelas. Rakaman sejarah ini untuk memberi ingatan kepada generasi yang akan datang. Agar mereka dapat melihat, mempelajari dan menghindar dari melakukan kesilapan yang sama.
Ilmu pengetahuan bukan datang dari mimpi. Ilmu pengetahuan datang dari pengalaman perbuatan manusia. Mengumpul pengalaman dan menuliskan kembali pengalaman adalah asas membentuk keilmuan.
Buku dan kitab adalah rakaman pengalaman manusia yang diususun untuk dijadikan ilmu dan rujukan.
Secara teperinci saya mencungkil projek Mat Songel ini kerana saya memikul beban sejarah untuk berkata benar. Apakah makna berkata benar ini?
Umum diberitahu Perdana Menteri Pakatan Harapan ialah Dr. Mahathir Muhamad. Timbalan Perdana Menteri ialah Dr Wan Azizah. Manakala Anwar Ibrahim dicadangkan untuk menjadi Perdana Menteri menunggu.
Orang yang paling sering memahsyorkan peranan tiga sosok ini ialah Mat Sabu. Secara berseloroh Mat Sabu akan meminta Mahathir mengambil pen dari dalam poket baju. Kemudian Mat Sabu meminta Mahathir mengangkat pen tersebut untuk dilihat umum dibawah pentas.
“Lihat Dr Mahathir masih bertenaga mengangkat pen … dia angkat pen ini untuk tanda tangan penangkapan Najib dan Rosmah …. bukan Mahathir nak jadi nelayan atau turun ke bendang ….” Orang ramai ketawa bila mendengar apa yang diumumkan Mat Sabu.
Umum juga telah diberi tahu bahawa Mahathir hanya akan menjadi Perdana Menteri untuk sementara waktu kerana faktor usia. Inilah juga janji ketika Pakatan Harapan berkempen.
Pada 9 Mei 2018 Pakatan Harapan mendapat kerusi parlimen terbanyak. Pakatan menang. United Malays National Organisation dan kuncu-kuncu kalah teruk. Tup tup Mat Songel membuat projek sailang.
Projek sailang Mat Songel ini telah saya rakamkan melalui babak-babak yang berlaku semenjak malam 9 Mei. Malam pertama istiadat angkat sumpah di Istana Negara gagal.
Malam kedua istiadat ini sengaja diperlambat-lambatkan. Di belakang babak-babak ini wujud Mat Songel yang sedaya upaya cuba untuk menggagalkan kelahiran kerajaan Pakatan Harapan. Ini bukan fitnah. Semua telah dibuktikan. Amin.
Pekara ini secara terbuka telah diberitahu oleh Mahathir kepada warga dalam dan luar negara. Ini bukan satu rahsia. Tapi? Apa tapinya?
Janji ertinya ada persetujuan antara dua pihak. Ada janji mulut. Ada janji bertulis. Dalam Adat Perpatih Negeri Sembilan amat jelas dalam hal janji berjanji ini:
bulat air kerana pembetong
bulat manusia kerana mufakat
kerbau dipegang tali
manusia dipegang janji
Persoalan timbul apakah janji ini bertulis antara Mahathir dengan Anwar. Apakah ini janji telah dimeteri dan dipersetujui oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Atau ianya hanya jawapan Mahathir kepada media bila ditanya berapa lama Mahathir akan menjawat kerusi Perdana Menteri.
Semua ini semakin tidak jelas. Apa yang kita sering dengar hanyalah kata-kata Mahathir yang dia akan berundur. Apa yang kita dengar si Anwar sebagai Perdana Menteri menunggu.
Apa masalah?
Pada hemat saya dari segi semangat kempen PRU14 – amat jelas tidak ada apa-apa pertelingkahan. Tidak ada apa-apa masaalah. Apa yang dijanjikan dalam kempen Jelajah Harapan akan dikotakan.
Malah telah terdengar saranan agar Mahathir meneruskan jawatannya untuk satu penggal. Ini untuk memastikan ajenda reform dapat dituntaskan. Saranan ini disokong pula oleh kenyataan Mahathir sendiri. Mahathir memulangkan tarikh bila dia melepaskan jawatan kepada rakyat – kepada anak semua bangsa.
Mengapa ini berlaku walhal semua seharusnya telah tuntas.
Semua ini timbul kerana di belakang semua ini adalah babak-babak projek sailang Mat Songel. Anak semua bangsa semakin sedar, terutama salepas kenyataan Lokman Adam.
Umum juga telah membaca bagaimana YB Abdulah Sani dari PKR telah membocorkan bagaimana Daim cuba mensailang Anwar dari menjadi Perdana Menteri ke-8. YB Abdullah Sani telah membuat kenyatan ini diruang lobi parlimen ini pada 12 Ogos 2018.
Sayugia diingatkan bahawa projek sailang Mat Songel bermula seawal malam kemenangan Pakatan Harapan – 9 Mei 2018. Daim hanya dilantik menjadi penasehat kerajaan pada Sabtu 12 Mei 2018.
Justeru kalau mengikut Adat Perpatih Negeri Sembilan berasaskan babak babak yang telah saya rakam maka perjanjian ini lonco. Maknanya jika ada apa apa janji maka janji itu lupus kerana ada pihak yang telah mungkir.
Ini sama saperti janji mulut antara Presiden Gorbachev dengan Presiden Reagan. Presiden Amerika ini berjanji tidak akan menambah anggota NATO (Perjanjian Tentera Atlantik Utara) di Eropah. Presiden Bush telah menambah Poland, Bulgaria, Ukraine dan Rumania sebagai anggota baru NATO.
Bila ini berlaku maka Presiden Putin terus menambah peluru berpandu di sekeliling Rusia. Tindakan Putin melanggar perjanjian.
Hakikatnya bila Mat Songel membuat projek sailang maka semua kemungkinan terbuka luas. Semua terbarai.
Wajib dikongsi bersama ketika merakam sejarah – bercakap benar adalah membuat kerja revolusi. Amin. (tt)
NOTA
Tulisan ini telah disiarkan dalam SUARA KEADILAN dan portal satira politik Hishamuddin Rais Tukartiub.blogspot.com