Independent

Nga Kor Ming Nafi Tekan MB Perak

Reading Time: < 1 minute

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dalam satu kenyataan media menafikan beliau memberi tekanan terhadap Menteri Besar Perak supaya meluluskan pemilikan 999 tahun kepada penduduk kampung baru.

Dalam kenyataan itu, beliau menyatakan kekesalannya terhadap satu laporan akhbar tempatan yang bertajuk ‘DAP Berkeras’ bertarikh 19 Ogos 2018, yang merujuk kepada isu kononnya DAP Perak meminta Menteri Besar meluluskan hakmilik kekal atau 999 tahun itu. Nga menegaskan bahawa itu adalah tidak benar dan laporan akhbar tersebut adalah tidak bertanggungjawab.

Beliau menambah bahawa tidak pernah membangkitkan isu hakmilik kekal sebaliknya apa yang berlaku adalah apabila ditanya oleh pemberita, beliau menyatakan Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan semua janji yang termaktub dalam manifesto. Nga menyifatkan laporan berita sebegitu adalah berniat jahat dan bersifat provokasi cuba memecahkan perpaduan antara kaum. Beliau berharap rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan racun politik perkauman sedemikian sebaliknya memberikan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk melakukan pembaharuan demi manfaat bangsa & negara tercinta dalam era Malaysia Baru ini.

Nga memberi jaminan bahawa DAP adalah parti yang bertanggungjawab, tidak pernah memberi tekanan kepada Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Dato Azumu, sebaliknya sentiasa menjalin hubungan mesra, bekerja sebagai satu pasukan dan saling hormat menghormati. DAP Perak akan berdiri teguh bersama Menteri Besar & memberi sokongan padu kepada kepimpinan Ahmad Faizal supaya Pakatan Harapan dapat membawa kesejahteraan hidup kepada seluruh rakyat negeri Perak serta membawa pembangunan ekonomi pesat kepada negeri.

Merujuk kepada berita semalam, portal Malaysiakini memetik laporan oleh Bernama bahawa DAP Perak tetap mahukan kerajaan negeri memberikan status hakmilik 999 tahun atau hakmilik kekal kepada kampung-kampung baru ‘seperti yang dijanjikan’ dalam manifesto Pakatan Harapan ketika PRU-14 lalu. Manakala laman dalam talian Utusan Online pula melaporkan DAP tetap mahu kerajaan negeri menunaikan janji untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada tanah kampung baru.

Exit mobile version