IPOH: Menikmati kopi enak bersama hidangan lazat sambil menyaksikan bagaimana mi tarik dihasilkan secara manual menggunakan tangan (tanpa mesin) oleh pembuat mi menawarkan pengalaman menarik kepada pengunjung Restoran ADDON White Coffee di sini.
Mi tarik adalah sejenis mi warisan yang popular dibawa khas dari wilayah Lanzhou, China oleh ADDON White Coffee Food and Beverage Sdn. Bhd. yang terletak di No 64, Jalan Raja Ekram, Ipoh.
Menurut Pengarah Eksekutif ADDON White Coffee Franchise Co.Ltd, Encik Sahul Hamid Rowther Mohd Bawa, bahan membuat mi tarik yang 100 peratus halal ini dibawa khas dari Lanzhou, China yang majoriti penduduk di sana adalah beragama Islam.
Katanya, pusat makanan berkonsep halal ini akan mula beroperasi pada 1 November 2018 dan majlis perasmian akan diadakan pada 15 Disember ini.
“Selain Ipoh, kita bercadang memfrancaiskan sajian mi tarik ini ke Pakistan dan Bangladesh.
“Hari ini dua pelabur dari Pakistan dan Bangladesh telah berminat untuk datang melihat sendiri bagaimana Restoran ADDON ini beroperasi sambil berpeluang melihat proses membuat mi tarik dengan tangan di dalam premis restoran ini,’’ katanya kepada pemberita di pelancaran `soft launch’ di Ipoh pada Rabu.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif New Shaheen Plaza Chandini Rawalpindi Pakistan, Major (Bersara) Afzal Ahmad berkata, syarikatnya berminat untuk mengadakan usahasama menerusi francais mi tarik ini dengan membuka pusat makanan itu di Rawalpindi, Pakistan.
“Zaman kini sudah berubah, ramai penduduk Pakistan termasuk golongan muda sanggup berbelanja besar semata-mata untuk menikmati makanan istimewa yang mereka idamkan.
“Di Pakistan, makanan masakan Thailand sudah ada di sana dan saya melihat sajian mi tarik ini akan mendapat sambutan baik rakyat Pakistan.
“Ini bersandarkan 220 juta penduduk di Pakistan adalah beragama Islam hanya – 1 peratus sahaja yang bukan beragama Islam dan pembukaan restoran Mi Tarik berkonsep halal ini sudah pasti mendapat sambutan baik.’’ Katanya.
Seorang lagi pelabur makanan dari Bangladesh, Md Aftab Hossain turut menyatakan minatnya untuk membuka pusat makanan francais Mi Tarik ini dengan kerjasama ADDON di lapan wilayah negara itu.
“Kami bercadang membuka sekurang-kurangnya 10 kedai Mi Tarik berkonsep halal ini buat permulaan di Barisal sebelum melebarkan ke wilayah Chittagong, Rangpur, Mymensingh, Sylhet dan Dhaka,” katanya.