Independent

Pangkor Bebas Cukai 2020: Penduduk Dinasihat Tidak Jual Tanah

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kerajaan negeri akan memastikan penduduk tempatan di Pulau Pangkor yang memiliki tanah supaya tidak menjual tanah-tanah mereka ekoran pulau itu diisytihar sebagai pulau bebas cukai.

Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, sebaliknya mereka diminta bekerjasama dengan kerajaan atau swasta untuk dimajukan tanah masing-masing sebagai pusat pelancongan utama di negeri ini.

“Dalam masa yang sama kita perlu pastikan atau mendidik penduduk tempatan yang mempunyai atau memiliki tanah di sana supaya tidak menjual tanah mereka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Teoh Yee Chern (DAP) di Sidang DUN pada Isnin.

Yee Chern dalam soalan tambahannya bertanya apakah usaha-usaha untuk membantu penduduk tempatan di Pulau Pangkor agar mendapat limpahan manfaat demi memastikan mereka tidak menjadi lebai malang, menang sorak, kampung tergadai.

Ahmad Faizal seterusnya berkata kerajaan negeri giat menyelaras gerak kerja berkaitan Pulau Bebas Cukai Pangkor menerusi perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

“Jawatankuasa-jawatankuasa kerja ini akan memberi tumpuan khusus kepada perkara yang perlu diberi perhatian segera seperti isu penyelarasan, keselamatan dan projek infrastruktur.

“Ia perlu diberi keutamaan dan sebagainya bagi merealisasikan sasaran Pulau Bebas Cukai Pangkor mulai 1 Januari 2020,” katanya.

Exit mobile version