Independent

PAS Perak Sedia Berdepan Saman Peguam Parti Amanah

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Peguam yang mewakili PAS Perak, Tuan Hj. Wan Rohimi Wan Daud berkata anak guamnya akan bersedia berdepan dengan ugutan saman dalam tempoh 7 hari yang dikemukakan oleh Exco Agama negeri Perak, Dato Asmuni Awi melalui peguamnya pada Selasa (11 Feb) lalu, jika Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Hafez bin Sabri tidak memohon maaf secara terbuka atau menarik balik kenyataan yang dikeluarkan di laman sosialnya pada 4 Feb.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat turut berkata bahawa Dato Asmuni tidak perlu menunggu sehingga 7 hari untuk mengemukakan notis saman itu sebaliknya boleh kemukakan hari ini juga dan PAS Perak sedia berdepan dengan peguam Asmuni.

Katanya, tindakan Hafez tidak boleh dianggap bersifat peribadi kerana ia melibatkan isu masyarakat terutama umat Islam di negeri Perak. Tambahnya, beliau merasa hairan kenapa dalam hal BMF Asmuni begitu vokal mengeluarkan kenyataan tapi dalam isu ini beliau mendiamkan diri.

“Ini kes yang sangat wajar dipertahankan … tiada langsung elemen serangan peribadi untuk mencemarkan reputasi YB Asmuni,” katanya semasa sidang media di pejabat parti itu di sini hari ini.

“Tidak akan ada permohonan maaf, penarikan balik kenyataan serta tidak ada apa-apa tindakan seperti yang dituntut oleh peguam Asmuni.”

“Ini adalah ugutan saman yang sangat melucukan,” tambahnya.

Beliau yang diberi mandat oleh PAS Perak dan Ustaz Hafez menyatakan tidak akan ada permohonan maaf, penarikan balik kenyataan serta tidak ada apa-apa tindakan seperti yang dituntut oleh peguam Asmuni.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS Perak, YB Mohd Akmal Kamarudin berkata adalah perkara biasa bagi pembangkang di mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi memohon penjelasan daripada pihak kerajaan atas sesuatu isu.

“Kenapa ‘sentap’ dengan apa yang disebut oleh Hafez… kalau dia nak sentap lebih baik dia tumpu kepada kerjaya dia sebagai lawyer sahaja.

“Kalau nak saman, berapa ribu dia nak saman dia boleh saman. Tapi portfolio sebagai exco agama yang dia pegang itu penting,” ujar Akmal.

Beliau turut membidas tindakan saman-menyaman oleh semua exco jika berterusan akan menyebabkan ramai rakyat Malaysia berulang-alik ke mahkamah.

“Nasib baik hanya ada seorang sahaja sepertinya dalam Malaysia ni,” katanya sinis.

Akmal menegaskan PAS akan tetap terus bersuara bagi mewakili rakyat negeri Perak terutama umat Islam malah turut akan mewakili bangsa lain di negara ini.

Pada 4 Feb, Hafez Sabri mempersoal tindakan berdiam diri Exco Agama, Dato Asmuni kerana tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan aktiviti sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan di premis surau Al-Qamar, Taman Pengkalan Hulu Utama pada 1 Feb 2020. Majlis turut diselitkan dengan tarian naga, pembakaran mercun disusuli ucapan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur, YB Wong Kah Woh.

Ekoran dari aduan orang ramai, pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengeluarkan amaran kepada pengurusan surau berkenaan agar tidak membenarkan premis ibadat digunakan sebagai pentas politik. Ia jelas telah melanggar garis panduan yang telah ditetapkan oleh JAIPk.

Foto: Penerangan PAS Perak

Exit mobile version