Independent

PAS Perak Tidak Tahu Wujud Komplot Mahu Jatuhkan `Peja’

Reading Time: < 1 minute

IPOH: PAS Perak tidak mengetahui kononnya wujud komplot mahu menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, pihaknya sama sekali tidak terlibat malah tidak langsung dihubungi mana-mana pihak berkaitan perkara tersebut.

Tegasnya, PAS Perak berpegang kepada prinsip yang mengiktiraf kerajaan sedia ada berlandaskan proses demokrasi.

“Kita menentang dari awal tindakan menjatuhkan kerajaan sebagaimana kita telah rasa pada tahun 2009.

“Maka kita tidak akan melakukan perkara itu ke atas MB sekarang,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak, hari ini.

Semalam, Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad mendedahkan beberapa wakil rakyatnya dihubungi lebih daripada seorang Exco kerajaan Perak bagi mendapatkan sokongan untuk usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar.

Sementara itu Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh meminta pemimpin PH menyiasat perkara tersebut.

Ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar bahawa masyarakat orang asli jangan harap bantuan darinya dan kerajaan Pakatan Harapan, Haji Razman menganggap kenyataan itu sebagai mengejutkan.

Katanya, sebagai Menteri Besar dan pemimpin peneraju kerajaan PH Perak, adalah menjadi tanggungjawab Ahmad Faizal untuk menjaga kebajikan rakyat termasuk masyarakat orang asli. Baginya, jika kata-kata Menteri Besar itu untuk tidak lagi memberi bantuan kepada masyarakat orang asli, ia adalah amat malang kepada mereka.

“Jangan pinggirkan masyarakat orang asli … mereka juga adalah rakyat Perak yang sentiasa memerlukan pertolongan dan bantuan kerajaan dalam meneruskan kehidupan,” katanya.

Exit mobile version