IPOH: Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui wujud usaha untuk menjatuhkannnya sebagai Menteri Besar Perak sejak hari pertama beliau dilantik ke jawatan itu.
Justeru, katanya, beberapa percubaan dan usaha mengaitkan dirinya dengan beberapa kelemahan bukanlah sesuatu yang baharu.
“Ini bukan kali pertama, tetapi saya masih di sini … Saya sudah sebutkan sebelum ini, ada banyak cubaan dan usaha orang cuba untuk menjatuhkan saya sejak hari pertama saya dilantik dan saya masih lagi Menteri Besar.
“Saya rasa esok, saya masih lagi MB, kecualilah jika ada sesuatu yang buruk berlaku kepada saya,” katanya selepas melawat ke Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.
Ahmad Faizal diminta mengulas dakwaan wujud lagi usaha untuk menjatuhkannya sebagai Menteri Besar selepas tularnya video audio yang dikatakan mirip suara seorang EXCO Kerajaan Negeri mengkritik dan mempertikai kepimpinan dan pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar.
Ditanya pemberita apakah percubaan menjatuhkannya bertujuan mengalih pandangan rakyat daripada dakwaan isu penyelewengan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk MAPS, beliau menganggap tindakan itu sebagai satu tindakan bijak.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri masih memberi tumpuan kepada usaha dan tanggungjawab melaksanakan segala perkara baik yang dirancang untuk kemakmuran negeri Perak.
Mengulas lanjut perkara itu, Ahmad Faizal menjelaskan setakat ini beliau masih belum mendengar lagi perincian audio yang ditularkan itu, namun masih mengekalkan kenyataan yang pernah dikeluarkan sebelum ini bahawa hubungannya dengan semua EXCO berada dalam keadaan baik.
“Ini kerana dalam setiap mesyuarat EXCO yang berlangsung, kami tiada masalah tetapi kalau ada apa-apa yang berlaku di belakang saya, itu saya tak tahu,’’ katanya.
Ditanya sama ada audio yang tular itu ada kaitan dengan beberapa dakwaan wujudnya usaha menjatuhkannya sebagaimana pernah berlaku sebelum ini, Ahmad Faizal berkata, jika dakwaan itu benar-benar berlaku maka perkara itu perlu dibuktikan.
Menurut Ahmad Faizal, dalam persidangan (DUN) sebelum ini ada tuduhan oleh UMNO bahawa ada dalam kalangan EXCO daripada Pakatan Harapan (PH) yang berinteraksi dengan mereka mengenai kemungkinan berlaku pertukaran MB.
“Saya fikir mereka (pembangkang) perlu buktikan perkara itu dan ketika ini kerajaan negeri masih berjalan seperti biasa,’’ katanya.