Hari ini, bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman didakwa di mahkamah kerana tuduhan menerima RM263 juta rasuah yang dikatakan berkaitan kontrak pembalakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Musa di Hong Kong dan Singapura melalui proksi antara tahun 2004 hingga 2008.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen (11a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang merujuk kepada kesalahan memberi atau menerima suapan oleh ejen.
Kes yang sudah lama, melebihi 10 tahun baru hari ini mengena. Tidak hairan Sabah merupakan sebuah negeri di Malaysia Timur yang kaya dengan hasil hutan, seperti Sarawak.
Di Semenanjung, Perak tidak kurang juga hasil hutan yang menyumbang pulangan yang besar kepada kerajaan negeri.
Di sebalik kekayaan hasil negeri dalam sektor pembalakan, terdapat cakap-cakap yang sering didengari bahawa konsesi balak di negeri ini juga tidak terlepas dari skandal pencerobohan kawasan dan pembalakan di kawasan-kawasan hutan simpan yang tidak dibenarkan. Isu ini sudah terdengar sejak zaman kerajaan BN memerintah sehinggalah ke hari ini. Saya tidak mahu menuduh sesiapa tetapi hasil balak sepatutnya memberi pulangan yang lumayan kepada negeri di samping kawalan yang tegas perlu dilakukan supaya tidak ada pihak yang mengaut keuntungan luarbiasa dengan memusnahkan kawasan hutan simpan dan sumber alam semulajadi yang tertua di dunia di sini.
Sudah berapa ratus juta atau bilion hasil mahsul dari hutan tropika negeri Perak sudah dibawa keluar dan keuntungan dikaut segolongan kecil golongan kapitalis yang tamak haloba.
Khabarnya Menteri Besar pernah pergi bermalam di hutan untuk menyelami kehidupan masyarakat orang asli disamping ‘mengintai’ aktiviti pembalakan di negeri, tapi tidak nampak apa hasil penelitian beliau.
Sehingga hari ini, selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran, kita masih belum mendengar sesiapa di kalangan pembesar-pembesar yang diheret ke mahkmaha dikenakan tuduhan atas kesalahan rasuah, menerima suapan dari ejen atau lebih tepat lagi oleh taukeh-taukeh balak yang kaya raya di negeri ini. Sepanjang tempoh 10 tahun atau lebih, mustahil perkara itu tidak pernah berlaku hatta sekali.
Perak juga merupakan antara negeri ditadbir Pakatan Harapan yang mesa kepada UMNO dan BN. Menteri Besarnya kelihatan tidak kisah bergambar di khalayak ramai dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan kelihatan begitu mesra sekali dengan bekas rakan seperjuangannya.
Lebih pelik lagi, hanya beberapa pegawai perhutanan negeri Perak pernah disiasat oleh SPRM dan didakwa, itupun semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.