Independent

Pemimpin PN Ingkar Arahan PKP Adakan Majlis Makan Beramai-ramai

Reading Time: 2 minutes

ULASAN | Dalam masa rakyat jelata diarah berkurung di rumah dan hanya boleh beli makanan dan bawa pulang untuk dimakan di rumah – demi mengelakkan penularan koronavirus, ada segelintir pemmpin tidak menunjukkan contoh yang baik dengan mengadakan majlis makan beramai-ramai di sebuah lokasi di Lenggong.

Sebelum ini ada seorang individu ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah kerana merakamkan majlis kenduri makan kambing bakar semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan beberapa penduduk kampung ditahan kerana mengadakan solat Isyak berjemaah di sebuah masjid di Perak, tindakan pemimpin ini seolah-olah tidak mempedulikan perintah larangan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan malah mereka ini seolah menganggap diri mereka mengatasi undang-undang.

Malang sekali pemimpin yang melakukan perkara sedemikian adalah menteri yang terlibat dalam kementerian yang sedang berhempas-pulas berjuang melawan penularan wabak iaitu Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Noor Azmi Ghazali manakala seorang lagi adalah ADUN Semanggol dari PAS iaitu Hj Razman Zakaria.

Siapa mereka ini dan apa istimewanya mereka ini sehingga mereka ini boleh berbuat sesuka hati tanpa diambil tindakan oleh sesiapa. Apakah kerana mereka ini pemimpin dari parti pemerintah, maka mereka adalah kebal undang-undang! Atau setidak-tidaknya mereka fikir undang-undang hanya digunapakai ke atas rakyat jelata, manakala golongan pemmpin seperti mereka mengatasi undang-undang! Tidak kira apa saja alasan yang diberi, sama ada mereka dalam misi menyampaikan bantuan atau penyerahan sumbangan, tindakan mengadakan majlis makan beramai-ramai ini jelas tiada beza dengan majlis makan kambing bakar yang diadakan seseorang yang akhirnya telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah. Jika perkara sebegini didiamkan, maka amatlah malang seorang rakyat jelata dihadapkan ke mahkamah tetapi golongan pemimpin dibiarkan berbuat sesuka hati.

Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana pemimpin sepatutnya menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti. Kalau pemimpin menunjukkan sikap mengatasi undang-undang, apa lagi yang rakyat boleh harapkan. 

Khabarnya akaun Facebook Noor Azmi telah ditutup setelah mendapat kecaman masyarakat ekoran tindakannya itu.

Diharap, pihak berkuasa seperti PDRM yang keras dan tegas atau MKN tidak memberi muka dan mengambil tindakan terhadap mereka ini yang bertindak seolah-olah tidak menghormati arahan kerajaan dalam usaha untuk membendung wabak ini dari terus menular ke kawasan-kawasan kampung.  

 

Exit mobile version