KUALA LUMPUR, 1 Dis (BERNAMA) | Seramai 10 pengundi berdaftar dalam kawasan Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen mereka Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Februari lalu.
Kesemua mereka, selaku plaintif, memfailkan saman itu melalui Tetuan Yohendra Nadarajan di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Nov lalu dengan menamakan Mohamed Azmin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, selaku defendan tunggal.
Melalui semakan mahkamah, kes itu ditetapkan Jumaat ini di hadapan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat.
Dalam penyataan tuntutan, kesemua plaintif, berumur antara 36 hingga 64 tahun, memohon perisytiharan antaranya Mohamed Azmin adalah pemegang amanah dan mempunyai tanggungjawab selaku Ahli Parlimen Gombak terhadap kawasan parlimennya termasuk 10 plaintif itu.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa Mohamed Azmin telah melanggar kewajipan fidusiari, menipu selain memungkiri representasi yang dibuat terhadap kesemua plaintif dalam pilihan raya kawasan berkenaan.
Menurut kesemua plaintif, representasi yang dibuat Mohamed Azmin itu adalah dengan menawarkan diri untuk bertanding pilihan raya 2018 untuk menyingkirkan kerajaan pada ketika itu, iaitu Barisan Nasional (BN), dan pegawai awam yang korup.
Dakwa kesemua plaintif, Mohamed Azmin hanya mengetahui bahawa representasi yang diberikannya itu adalah palsu dan beliau hanya mahu mendapatkan undi serta tidak berusaha untuk memenuhi representasi berkenaan.
Kesemua plaintif mendakwa mereka telah bergantung kepada representasi tersebut dan mengundi defendan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Hak untuk mengundi yang dijaminkan di bawah Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah hak perlembagaan. Pengundi-pengundi termasuk kami telah melaksanakan hak tersebut dengan merujuk kepada representasi yang dikemukakan oleh calon semasa proses pilihan raya.
“Defendan terikat kepada representasi yang dibuat olehnya dan manifesto PH yang digunakan untuk bertanding. Oleh itu, beliau tidak boleh bertukar sepenuhnya dengan menyertai kerajaan (sekarang) dengan ahli gabungan BN yang dikutuk sekeras-kerasnya ketika bertanding dahulu.
“Dengan memungkiri representasi berkenaan, defendan telah melanggar hak perlembagaan terutamanya prinsip demokrasi berparlimen dan demokrasi perwakilan yang membentuk sebahagian struktur asas perlembagaan,” kata mereka menerusi penyataan tuntutan.
Oleh itu, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa defendan telah melanggar kewajipan fidusiarinya dan tugas-tugas yang terhutang kepada plaintif selain melakukan penipuan terhadap mereka selain menuntut ganti rugi keterlaluan dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.