Independent

Peningkatan 17 kes kematian dalam tempoh 10 hari Op Selamat

Reading Time: < 1 minute

Angka kematian akibat kemalangan jalan raya terus meningkat dengan penambahan 17 kematian dalam tempoh 10 hari Op Selamat 15 sempena musim perayaan Aidilfitri.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad berkata jumlah itu menjadikan sebanyak 176 kes kematian direkodkan sehingga semalam sejak Op itu dilancarkan 29 Mei lepas.

“Sebanyak 23,263 kenderaan terlibat dalam kemalangan sehingga semalam. Peningkatan angka kematian juga menunjukkan Kuala Lumpur antaranya merekodkan empat kematian, Perak tiga kematian sementara Selangor dan Sabah masing-masing dua kematian.

“Pulau Pinang, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak pula masing-masing satu kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sebanyak 2,902 operasi dijalankan seluruh negara selain 217,683 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Sementara itu bagi kes pecah rumah dan premis pula, 441 kes direkod di seluruh negara dalam tempoh 10 hari Op Selamat itu.

Op Selamat yang berlangsung sehingga 12 Jun ini memberi tumpuan terhadap enam kesalahan utama iaitu memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

– Bernama

Exit mobile version