Independent

Perak Kotakan Janji Beri Tapak Kediaman Kepada Pemain, Pegawai Juarai Piala Malaysia 2018

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Kerajaan Perak mengotakan janjinya apabila menyerahkan surat tawaran bagi tapak kediaman kepada para pemain dan pegawai pasukan bola sepak Perak yang telah memenangi Piala Malaysia pada musim 2018.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu telah menyempurnakan penyerahan surat tawaran itu pada majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bersama Anak-Anak Yatim Nurul Iman di Laman Darul Ridzuan Ipoh pada Rabu.

Kelulusan lot tapak kediaman di kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dalam Mukim Hulu Kinta itu adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri ekoran kejayaan Perak merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada 27 Oktober 2018.

Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata, beliau mahu pemain muda bola sepak pasukan Perak terus bergerak maju ke depan bukan hanya sekadar tamat mewakili negeri dan Malaysia malah ke peringkat antarabangsa.

“Hari ini kita sibuk cakap pasal pemain import tetapi saya impikan pemain kita dapat bermain di luar negara. Orang kata saya berangan-angan tetapi saya amat yakin kita dapat melakukannya.

“Jika kita bermain dengan bersungguh-sungguh, saya rasa pemain kita dapat mewakili pasukan yang lebih baik.

“Jangan pandang belakang, sebaliknya terus perbaiki diri untuk berjaya,” katanya

Sementara itu Pengurus Pafa, Datuk Adly Shah Ahmad Tah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahmad Faizal selaku Presiden PAFA kerana amat prihatin dengan memberikan hadiah istimewa itu pada bulan barokah ini bersempena kemenangan Perak selepas penantian selama 18 tahun.

“Dengan pemberian ini dapat menyuntik semangat tinggi pemain untuk beraksi lebih cemerlang bagi merebut kejuaraan pada masa akan datang,’’ katanya.

Exit mobile version