Independent

Perak Punyai Potensi Besar Pembangunan Industri Buluh – MB

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Negeri Perak mempunyai potensi besar sebagai hub pembangunan industri buluh di Malaysia kerana terdapat berbagai sebilangan besar spesies buluh bernilai komersial yang tumbuh subur di negeri ini. Demikian menurut Menteri Besar Perak, DAto’ Seri Ahmad Faizal Azumu dalam ucapannya di Sambutan Hari Buluh Sedunia 2019 di Casuarina@Meru hgari ini.

Beliau yang mewakili kerajaan negeri Perak mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Industri Utama serta Lembaga Industri Perkayuan Malaysia (MTIB) kerana memilih negeri Perak sebagai tuan rumah sambutan acara itu untuk edisi kali ini.

Menurut Ahmad Faizal, beliau yakin penganjuran Hari Buluh Sedunia ini mampu mengukuhkan lagi kerjasama antara agensi-agensi Persekutuan dengan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri Perak khusus dalam pembangunan industri buluh di negeri ini.

Ujarnya pemilihan negeri Perak adalah adalah amat bertepatan kerana negeri ini mempunyai pelbagai keunikan serta keistimewaan berkaitan industri buluh. Beliau memberikan contoh terdapat masjid buluh di Kuala Kangsar, juga resort pengembaraan Bamboo Jungle Adventures di Sungai Siput dan Resort Lembah Sahom di Kampar.

“Dalam hal ini, Perak mempunyai pencapaian terbaik dalam usaha mempromosi buluh yg ‘versatile’.

“Berdasarkan Inventori Hutan Nasional Kelima (IHN-5) oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, dianggarkan terdapat lebih 15 juta rumpun buluh di negeri Perak.

“Empat perpuluhan lima juta darinya ialah spesies buluh betong iaitu jumlah tertinggi direkodkan berbanding negeri lain di Malaysia.

“Ini menunjukkan negeri Perak memang berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai hub pembangunan industri buluh di Malaysia,” katanya.

Beliau menzahirkan keyakinan melalui penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan dan strategi pemasaran biproduk buluh serta produk berasaskan buluh yg mantap bakal menjadi satu sumber pendapatan negara yang baharu. Ia juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana ekonomi masyarakat.

Menurutnya, kerajaan negeri Perak juga amat mengalu-alukan cadangan dari Kementerian Industri Utama mewujudkan pusat semaian buluh berskala komersial dan makmal tisukultur di negeri Perak.

“Ini bagi memastikan benih buluh berkualiti untuk kegunaan industri perladangan buluh,” ujar beliau.

Ahmad Faizal dalam pada itu menyeru para pelabur dan usahawan yang berminat agar mengambil peluang ini untuk melabur dalam industri berasaskan buluh terutama di negeri Perak.

“Saya percaya melalui pendekatan ‘mesra-pelabur’ yang diamalkan oleh pentadbiran ini, ia akan dapat membantu memudahcara kemasukan para pelabur.” katanya.

Beliau juga berharap penganjuran sambutan Hari Buluh Sedunia ini akan dapat mengukuhkan lagi kerjasama antara kerajaan negeri dengan Kementerian.

Acara sambutan ini dilancarkan oleh Menteri Industri Utama, Puan Teresa Kok. Turut hadir ialah EXCO Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi MTIB, Wong Tack.

Exit mobile version