Independent

Persatuan Ejen Jualan Tiket Bas Mohon Penyelesaian Kondusif Dari MB

Reading Time: < 1 minute

Persatuan Kebajikan Ejen Jualan Tiket Bas Ekspres Silveritage Medan Gopeng memohon Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mencari penyelesaian kondusif berkenaan masalah yang dihadapi 200 ejen jualan tiket bas ekspres yang diarah keluar dari terminal bas ekspres Bandar Meru Raya (Terminal Amanjaya) selepas 31 Mac ini.

Menurut Pengerusinya, Mohd Tarmizi Mohd Yusuff, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar pada 20hb. Mac lalu dan MB berjanji akan membantu menyelesaikan masalah serta memohon pihak pengurusan Terminal Amanjaya melanjutkan tempoh sehingga semua masalah diselesaikan.

Yang menjadi masalahnya sehingga hari ini pihak persatuan tidak menerima sebarang surat hitam putih dari pihak pengurusan mahupun dari pejabat Menteri Besar sendiri.

“Pada 31hb. ni ke mana hala kami nak pergi … sebab perjanjian MB hari itu dia (MB) kata dia akan membuat penangguhan tapi surat penangguhan tiada.

“Pada 31hb. Mac ni kita nak cakap apa, takkan nak bergaduh dekat terminal tu … bila tiada surat mesti bergaduh, memang jadi pergaduhan.

“Sampai hari ini masih tiada apa-apa feedback (maklum balas) dari pihak Menteri Besar tentang masalah ini,” katanya kepada wartawan semasa sidang media di Ipoh pada hari ini.

Tarmizi meminta Menteri Besar mengotakan janjinya seperti yang dinyatakan dalam perjumpaan dengan pihaknya untuk mengeluarkan surat lanjutan penangguhan keluar dari terminal sehingga terminal Medan Gopeng siap.

Menurutnya lagi, Ahmad Faizal secara dasarnya bersetuju untuk membuka satu lagi terminal bas ekspres di Medan Gopeng. Malah MB turut memberitahu mereka bahawa beliau (MB) sendiri yang akan memohon kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD – dahulunya dikenali sebagai SPAD) untuk mendapatkan kelulusan bas ekspres menurun dan mengambil penumpang di Terminal Medan Gopeng.

Untuk rekod, Terminal Amanjaya diuruskan oleh syarikat swasta sejak era kerajaan terdahulu dan syarikat yang sama juga merupakan salah satu operator bas ekspres di terminal tersebut.

Exit mobile version