Independent

PKPB Dilanjut Sehingga 9 Jun

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR (Bernama) | Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun, sekali gus menyaksikan pergerakan rentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dibenarkan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan melanjutkan PKPB selama empat minggu lagi itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah membendung wabak COVID-19.

“Usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya. Langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi wabak ini. Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan, hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan PKPB bermula 4 hingga 12 Mei bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka secara terkawal dan berhati-hati.

Beliau berkata ini bermakna semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan ketika tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuat kuasa sehingga 9 Jun.

Jelasnya, sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Muhyiddin berkata dalam tempoh PKPB itu terdapat beberapa perayaan utama yang lazimnya melibatkan pergerakan orang ramai iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan atau Hari Gawai bagaimanapun tetap boleh disambut melalui ziarah-menziarahi dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa, namun jamuan besar-besaran atau rumah terbuka tidak boleh diadakan.

Perdana Menteri berkata setiap keluarga juga perlu mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup hidung dan mulut serta amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan pensanitasi tangan sepanjang sambutan perayaan itu.

Exit mobile version