Independent

PKPD Di Taman Klebang Jaya & Pinji Mewah Bermula Hari Ini

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Penduduk di Zon A Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah mula menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada tengah malam tadi (Selasa, 1 Dis).

Khemah kawalan agensi penguatkuasa Polis dan ATM didirikan di pintu masuk utama kawasan sekitar jam 6.30 petang.

Pintu masuk sibuk dengan kenderaan keluar masuk dari petang hingga malam kerana penduduk memenuhi keperluan berikutan pengumuman pelaksanaan PKPD .

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penguatkuasaan PKPD di kedua-dua kawasan itu sehingga 14 Disember berikutan peningkatan kes positif Covid-19 yang melibatkan pekerja dari kilang Kamaya dan Salutica.

Setakat semalam, seramai 1,402 pekerja kilang Kamaya telah disaring dan jumlah kes positif yang dicatatkan adalah 228, dan dari jumlah itu, 110 kes melibatkan pekerja yang tinggal di Zon A Taman Klebang Jaya.

Sementara itu, 737 ujian saringan yang dilakukan terhadap pekerja kilang Salutica menunjukkan 119 kes positif, sementara 618 pemeriksaan masih menunggu hasilnya. Dari jumlah itu, 89 kes positif melibatkan pekerja yang tinggal di Taman Pinji Mewah. Penguatkuasaan PKPD di Zon A Taman Klebang Jaya melibatkan 1,061 rumah dengan jumlah penduduk 4,244 sementara Taman Pinji Mewah melibatkan 1,430 rumah dan 44 kedai / pejabat dengan jumlah penduduk 5,720.

Exit mobile version