IPOH | Perak Cartoon Fest (Pecaf) 2019 bakal diadakan di Pusat Koloni Karyawan (PORT) pada 17 dan 18 Ogos ini menyaksikan pameran komik, rekaan artistik, sesi bicara seni serta forum.
Presiden Persatuan Penggiat Komik Malaysia (Pekomik), Mior Azhar Meor Said berkata, pameran diadakan untuk meraikan pelukis-pelukis dan karyawan yang berasal dari Perak.
“Matlamat kita adalah untuk raikan karyawan atau pelukis yang kalau diikutkan memang ramai karyawan yang berasal dar Perak.
“Selama ini mereka pergi ke ‘luar’ dan dengan program seperti ini kita mereka akan kembali ke sini.
“InsyaAllah, kita jangkakan program ini dapat menarik kehadiran ramai pengunjung khususnya pencinta bidang seni,” katanya semasa sidang media sempena penganjuran Perak Cartoon Fest (Pecaf) 2019 di PORT hari ini.
Dalam sidang media yang sama, Pengurus Besar PORT, Norhanim Khairuddin mengumumkan perlantikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu serta Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharu PORT.
Menurut Hanim, Pecaf 2019 adalah kesinambungan daripada penganjuran Pekan Kartun V1, V2, V3 dan V4 sebelum ini.
Penjenamaan semula program berkenaan bakal menyaksikan beberapa penambahan seperti wacana serta pameran seni.
“Kita juga berharap agar Pecaf 2019 bakal menjadi platform yang mampu menghubungkan penggiat serta pencinta seni kartun dan animasi tempatan dengan pemegang taruh industri seni visual Malaysia,” katanya.