Independent

Program Jelajah Pendidikan Jadi Medium Penyampai Maklumat Terkini KPM

Reading Time: < 1 minute

IPOH, 5 Okt  — Program Jelajah Pendidikan yang dilaksanakan sejak 2005 memberi peluang mendekati masyarakat di seluruh negara dengan berkongsi kejayaan serta memperoleh pandangan dan  respons terhadap usaha Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Mohd Gazali Abas berkata program itu bertujuan menyebarkan maklumat, menyampaikan ‘touch point’ yang relevan kepada masyarakat dan juga sebagai platform memberi serta mendapatkan maklum balas secara langsung kepada masyarakat berkaitan perkhidmatan KPM.

Beliau berkata, KPM yakin penyampaian perkhidmatan kerajaan secara bersemuka tetap sesuai dan penting bagi pelanggan memahami lebih lanjut proses sesuatu layanan dilaksanakan walaupun negara kini menuju ke era digital.

Tentunya, program turun padang seperti ini memerlukan kerjasama yang erat dan berkesan daripada pelbagai pihak, jika tidak, proses penataran dan penyebaran maklumat tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan, katanya.

Mohd Ghazali berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Jelajah Pendidikan KPM 2019 peringkat negeri Perak di Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini, hari ini.

Perak dipilih sebagai lokasi pertama siri jelajah pada tahun ini, dan  selepas  ini  tiga  lagi  lokasi  akan  diadakan iaitu Kemaman, di Terengganu; Kuching, Sarawak; dan Batu Pahat, Johor.

Program Jelajah Pendidikan KPM pada kali ini melibatkan lebih banyak jabatan serta agensi kerajaan dan swasta seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga  Penduduk dan  Pembangunan  Keluarga  Negara (LPPKN), Pusat Sains Negara, dan Pusat Pendidikan dan Latihan  Tenaga Boleh  Baharu, Kecekapan  Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE).

— BERNAMA

Exit mobile version