GEORGE TOWN | Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyeru negara-negara anggota Asean untuk membantu menjadikan rantau ini bebas dari kesan pencemaran yang merosakkan.
Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, kerajaan Malaysia harus memimpin usaha untuk menangani sumber masalah – kebakaran hutan di Indonesia – dan menghentikannya dari terus berlaku di masa hadapan.
“Kita mahu Asia Tenggara bebas jerebu sebagai kenyataan dan bukan impian semata-mata,” katanya di sini semalam.
Menurut Meenakshi, terdapat beberapa langkah asas yang harus diambil oleh negara anggota untuk menangani masalah tersebut.
“Pertama, mesti ada pemahaman yang jelas mengenai punca sistemik kebakaran hutan, dan aktiviti korporat yang memberi kesan yang besar terhadapnya.”
Beliau berkata tindakan yang berkesan perlu diambil untuk menghentikan aktiviti perhutanan dan perladangan yang tidak lestari ini, termasuk dalam mencegah penggunaan kaedah pembakaran dalam aktiviti pembersihan tanah.
Meenakshi berkata mekanisme kerjasama ASEAN harus ditingkatkan menjadi efektif, termasuk melalui penubuhan Pusat Penyelarasan Jerebu Asean.
“Juga, mesti ada kesediaan untuk Malaysia dan negara-negara Asean lain untuk memastikan bahawa syarikat-syarikat yang dimiliki oleh warganegara mereka tidak terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang merosakkan dan tidak lestari di luar negara.
Meenakshi berkata SAM juga mengalu-alukan langkah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghubungi rakan sejawatannya dari Indonesia dalam menangani masalah jerebu yang semakin meningkat yang memberi kesan serius kepada Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Beliau berharap langkah-langkah segera akan diambil oleh pihak berkuasa Indonesia untuk menghentikan kebakaran hutan yang berpunca dari republik itu, memandangkan data pemantauan dari Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) menunjukkan bahawa kebanyakan titik panas dilihat di Kalimantan dan Sumatera.