Independent

Saintis UPM Cipta Teknologi Antibeku Untuk Kelangsungan Hidup

Reading Time: 2 minutes

Saintis Universiti Putra Malaysia berjaya menghasilkan teknologi terbaru dalam industri sejuk beku makanan dan perubatan apabila mencipta satu inovasi dinamakan Peptida Antibeku.

Penyelidikan tersebut digerakkan melalui geran Genetics and Molecular Biology Iniatives, BIOTEK, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Sultan Mizan Antarctica Research Foundation dan UPM.

Menurut Prof. Dr. Mohd Basyaruddin Abdul Rahman, teknologi itu telah dihasilkan pada satu jangka masa yang agak lama iaitu bermula pada tahun 2006 hingga 2015.

Penyelidik-penyelidik lain yang terlibat dalam projek berkenaan ialah Bimo Ario Tejo, Loqman Mohamad Yusof, Emilia Abd Malek dan Khairul Fadlyshah Abu Hasan.

Tempoh masa yang panjang diambil tidak sia-sia apabila rekaan berkenaan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Inovasi Dr. Mohd Basyaruddin dan pasukannya berjaya mencuri tumpuan pemain industri makanan di Jepun.

Ujar Dr. Mohd Basyaruddin, dengan inovasi Peptida Antibeku itu, yis glaciozyma antarctica yang digunakan dapat menghasilkan protein novel yang mempunyai aktiviti antibeku (membantu mekanisme kelangsungan hidup pada suhu di bawah sifar).

“Protein yang bersifat unik dan novel itu (berdasarkan homologi jujukan) yang rendah berbanding dengan protein antibeku yang lain. Atas justifikasi itu, saya mencipta Peptida Antibeku yang mampu meniru aktiviti biologi protein induknya, selain penghambatan penghabluran semula yang tinggi sekali gus dilihat cukup berharga untuk pelbagai aplikasi yang berkaitan dengan sejuk beku,” katanya.

Sebagai contoh, Peptida Antibeku membantu mencegah kesan negatif kristal ais dan memelihara produk makanan sejuk beku. Sebagai contoh, daging yang dimasukkan dalam peti sejuk dan disertakan dengan inovasi itu akan membuat daging itu kekal segar dan tahan lebih lama.

Selain itu, penggunaan teknologi itu juga amat berguna untuk bidang perubatan.

“Teknologi itu dapat memainkan peranan dalam mengekalkan kualiti organ (yang disimpan untuk proses transplan) bagi mengekalkan kesegaran semasa pengangkutan organ. Sel organ tidak rosak disebabkan sifat ais yang kasar,” katanya.

Menurutnya lagi, Peptida Antibeku sudah bersedia untuk dikembangkan di pasaran antarabangsa memandangkan ia sudah mendapat banyak permintaan dari negara Jepun.

“Bagaimanapun kekangan kami sekarang ialah masih tidak dapat menghasilkan inovasi itu dalam kuantiti banyak disebabkan teknologi yang terhad,” ujar beliau.

Exit mobile version