Independent

Seram! Duit kertas RM8 Pemberian Wanita Misteri Bertukar Daun Kering

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Seram! Pelik … wang tunai RM8 upah tambang Grab bertukar daun kering. Begitulah cerita terbaru yang heboh diperkatakan netizen Ipoh ketika ini.

Menurut ceritanya, kisah pelik ini dialami sendiri seorang pemandu Grab apabila tambang RM8 yang dibayar seorang penumpang wanita bertukar menjadi daun kering pada malam Sabtu lalu. Kisah seram ini dikongsi isterinya di Twitter pada Sabtu .

Menurut wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Farah, suaminya mengambil penumpang berkenaan berhampiran Pasar Gunung Rapat sebelum menerus perjalanan ke Jalan Hoover di Ipoh.

“Masa dia ambil penumpang itu kira-kira pukul 7 malam dah Maghrib. Kebetulan kawasan itu dekat dengan rumah kami dan itu trip terakhir, jadi dia terima permintaan penumpang itu.

“Dia turunkan penumpang itu dalam pukul 7.10 malam. Wanita itu memang bagi duit tambang RM8 dalam bentuk RM1 sebanyak lapan keping dan suamipun masukkan wang itu dalam dompet dia.

“Namun sudah jadi amalan dia akan periksa dompet selepas hantar penumpang sebab dia akan pindahkan duit tersebut ke dalam `pouch’. Bila buka je dompet, tengok ada daun,’’ katanya.

Merasa amat terkejut dengan kejadian itu, suami Farah yang hanya ingin dikenali sebagai Zed terus memaklumkan mengenai perkara itu kepadanya.

“Suami mesej saya dekat WhatsApp mengenai duit daun itu. Saya tak fikir langsung benda pelik-pelik. Ingatkan suami nak buat lawak sebab dia memang suka bergurau.

“Sampai je dekat rumah, bila dia buka cerita itu saya terkedu seketika .Biasalah mesti fikir hantu dulu. Suami pun pelik sebab daun kering dalam dompet dia itu ada lapan helai.

“Suamipun terus buang daun itu sebab macam bahaya nak bawa balik benda dia sendiri tak tahu apa. Lagipun kami ada anak kecil,’’ katanya.

Farah berkata, suaminya memaklumkan wanita tersebut turut berkelakuan aneh semasa di dalam kereta.

“Suami pun macam tak sedap hati sebab dia kata gaya perempuan itu pun pelik. Dia kata wanita itu suka gelak. Bila langgar lubang pun gelak.

“Dari gaya percakapan wanita itu orang Indonesia. Tapi sampai sekarang kami masih lagi tertanya-tanya sama ada dia adalah manusia atau sebaliknya,’’ katanya.

Walaupun ramai netizen menganggap wanita itu sebagai makhluk ghaib, Farah berkata, dia percaya suaminya sudah dipukau.

“Ada juga yang cakap wanita itu mungkin hantu.Ini kerana hantu pun guna duit dekat alam bunian untuk buat sebarang bayaran.

“Namun saya lebih suka buat kesimpulan wanita itu adalah manusia sebenar dan dia mengamalkan ilmu tarik duit. Itu lebih lojik,’’ katanya.

Farah turut menzahirkan rasa kesal sekiranya wanita tersebut menggunakan ilmu pukau untuk mengelak daripada membayar wang tambang perkhidmatan Grab yang disertai suaminya sejak setahun yang lalu.

“Pelik ada juga orang zaman sekarang ni nak guna ilmu untuk bayar Grab. Dahlah tambang RM8 je. Kalau RM800 fahamlah juga.

“Jadi kepada pemandu Grab sila berhati-hati. Nasiblah tambang tadi hanya RM8 je. Kalau RM60 ke apa, rugi kena pukau. Tapi saya anggap itu bukan rezeki suami,’’ katanya.

Exit mobile version