Independent

Sidang Dun Perak Lulus Lima Usul

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Lima usul, empat daripadanya penubuhan Jawatankuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diluluskan oleh Dewan yang bersidang pada Isnin.

Usul pertama dikemukakan Terence Naidu (DAP-Pasir Bedamar) melibatkan penubuhan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) yang dipengerusikan Leong Cheok Keng (DAP-Malim Nawar) dengan enam ahli termasuk timbalan pengerusi.

Kemudian, Ng Shy Ching (PKR-Teja) mencadangkan kepada Dewan penubuhan Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap yang dipengerusikan Speaker Dun Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dianggotai enam ahli.

Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) selepas itu mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang turut dipengerusikan Koo Ham dan turut dianggotai enam ahli.

Sementara itu, satu jawatankuasa baharu turut dibentuk iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Bangunan Baharu Dewan Negeri Perak yang dicadangkan Cheok Keng.
Jawatankuasa itu juga dipengerusikan Koo Ham dengan dianggotai enam ahli.

Dalam perkembangan lain, Ahli Jawatankuasa DAP Perak, Nga Hock Chye dan Pengerusi Tetap Kongres Nasional PKR, Ismail Yusop dipilih sebagai Ahli Dewan Negara yang baharu selepas dua Ahli Dewan Negara yang dilantik sebelum ini melepaskan jawatan.

Pelantikan kedua-dua mereka berkuat kuasa pada 13 Ogos selama tempoh tiga tahun. Pengumuman itu dibuat oleh Koo Ham selepas kedua-dua mereka memperoleh 31 undi menewaskan dua calon lain.

Terdahulu, Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) mencadangkan Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar sebagai calon Ahli Dewan Negara manakala Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol) mencadangkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Muhammad Ismi Mat Taib sebagai calon Ahli Dewan Negara.

Berikut senarai ahli jawatankuasa yang dilantik:

Exit mobile version