Independent

Siti Aishah Akan Diberi Peranan Penting – Ahmad Faizal

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu beri jaminan Ketua Penerangan PKR negeri, Siti Aishah Shaik Ismail yang dikatakan menarik diri di saat akhir pencalonan jawatan Speaker DUN Perak akan diberi peranan dalam kerajaan negeri.

Menurut Ahmad Faizal, beliau akan memastikan Siti Aishah diberi peranan dan diletakkan di tempat yang sesuai.

Beliau ketika ditanya berhubung kenyataan yang dimuat naik Siti Aishah di ruangan Facebooknya hari ini berkata perasaan tidak berpuas hati itu merupakan perkara yang biasa.

Walaupun begitu menurut beliau, akhirnya semua ahli akan dan harus bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti.

“Apablia keputusan dibuat, contohnya semasa pengumuman calon pada Pilihanraya Umum lalu, tentunya ada dalam kalangan ahli tidak berpuas hati.

“Semasa itu juga mungkin pada ketika itu, kita menyuarakan perkara yang kita tidak mahu suarakan dan sebutkan, dalam keadaan tidak sedar.

“Saya bercakap dengan Siti Aishah dan beliau menerima baik dan saya akan memastikan peranan beliau dalam kerajaan Perak,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas penyempurnaan acara mengangkat sumpah jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Siti Aishah pada awalnya dicalonkan PKR untuk jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak tetapi menarik diri di saat akhir.

“Rombongan DAP yang diketuai Nga Kor Ming mendesak dan memberi tekanan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di hospital supaya bersetuju DAP diberi tempat dan memaksa saya menarik diri.

“Kemuncaknya di kediaman menteri besar semalam di pertemuan Menteri Besar bersama para Adun yang dihadiri oleh Ngeh tanpa diundang,” kata Siti Aishah.

Pada sidang media itu Ahmad Faizal mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan, Kamarulariffin Ayub yang berjaya menerajui sesi persidangan walaupun berlaku sedikit kekecohan di kalangan ADUN pembangkang berhubung pencalonan Speaker DUN.

Ahmad Faizal turut meluahkan keikhlasan kerajaan apabila buat pertama kalinya menawarkan pejabat dan beberapa kemudahan kepada ketua pembangkang.

“Inilah langkah kita nak menaik taraf intergriti dewan. Saya fikir pembangkang boleh membangkang tapi harus dengan cara berhemah,” jelasnya

Exit mobile version