Independent

Surat Perokok Tegar Kepada Menteri Kesihatan

Reading Time: 5 minutes

Kepada menteri kesihatan Pakatan Harapan yang dihormati,

Saya seorang perokok tegar. Saya menghisap tiga kotak rokok kretek sehari. Saya berbangga dengan rokok saya. Saya tidak peduli sama ada Humphrey Bogart dan Lauren Bacall mengisap rokok atau tidak.

Saya tidak terpengaruh oleh Hussein Abu Hassan dengan Players Gold Leafnya. Atau pun dengan Inchek Clint Eastwood dengan cigarillonya.

Berkepul-kepul asap rokok keluar dari mulut bintang filem yang kacak, yang cun dan yang jambu. Semua ini tidak akan mempengaruhi saya.

Ini kerana saya tahu nikmat rokok. Saya tahu nikmat menghisap rokok sesudah makan. Saya tahu nikmat rokok ketika bersembang. Saya tahu nikmat rokok ketika menghirup secawan kopi pekat. Saya juga tahu nikmat rokok sesudah berjimak.

Saya juga tahu nikmat ganja. Saya tahu nikmat air ketum dan air anggur. Saya tahu nikmat bir. Bukan hanya Tunku Abdul Rahman atau Tun Razak atau Sulaiman Brandy sahaja yang tahu nikmat brandy. Hishamuddin Rais juga tahu apa itu XO Cognac.

Semua ini tak sedap

Justeru kepada yang tidak merokok. Kepada yang tidak pernah menghisap ganja. Kepada yang tak pernah menghidu kokain. Kepada yang tidak pernah minum beer atau whisky sila jangan sesekali berkata ‘semua ini tak sedap… tak shiok…. bahaya pada kesihatan…’

Kalau belum minum Dom Pérignon. Kalau belum minum Moët Chandon. Kalau belum meneguk Mort Subite atau tak tahu apa itu Duvel sila jangan perlekehkan peminum air anggur, todi, air tapai, tuak atau langkau. Atau memperlekeh penghisap rokok.

Maknanya – jika tak pernah ada ramai kekasih – kalau hanya ada seorang isteri atau kalau yang dipeluk hanya sang suami jangan sesekali berkata bertukar pasangan itu tiada nikmat.

Tak pernah buat ertinya tak pernah tahu. Sudah buat baru tahu. Belum buat belum tahu.

Saya dikenalkan dengan kretek oleh Tongkat Waran (nama pena Usman Awang). Ini pada tahun 1972. Saya tidak tahu berapa harganya pada ketika itu. Saya tidak tahu dari mana si Tongkat ini mendapat kretek. Setiap kali bertemu Tongkat saya akan menjadi 10,000 kali lebih puitis jika Tongkat menghulurkan Gudang Garam.

Adik saya meninggal dunia pada jam 1.00 pagi Selasa 22 Januari 2019 yang lalu. Si Arwah ini lima tahun lebih muda dari saya bukan perokok.

Di kereta adik saya ada terlekat sticker McDonald. Pernah saya bertanya apa tujuan stickerini.

Jawabnya: “Senang nak masuk beli burger di Seremban…”

Apabila kawan-kawan bertanya apa sakit adik saya hingga membawa maut. Saya akan jawab, “tak ada penyakit. Dia meninggal dunia kerana life style, kerana gaya hidup. Dia meninggal dunia tanpa serangan kuman, tidak diserang virus.”

Ramai kawan-kawan tidak faham jawapan saya ini. Maka tulisan ini bertujuan untuk menerangkan apa itu gaya hidup yang menyebabkan mati. Saya ingin menerangkan bagaimana ramai warga dunia hari ini hidup dalam marabahaya yang amat sangat.

Bahaya ini bukan dari rokok. Bukan kerana air anggur. Bukan kerana todi, samsu atau beer. Tetapi kerana gaya hidup.

Ingatan pada roh adik

Justeru sebagai ingatan kepada roh adik saya, lalu saya menulis surat ini kepada menteri kesihatan Pakatan Harapan.

Pak menteri yang saya hormati,

Saya mengalu-alukan tindakan kerajaan saudara memperkenalkan undang-undang dan peraturan baru menghisap rokok. Saya gembira kerana kerajaan dan jabatan kesihatan yang saudara pimpin merasa bertanggungjawab terhadap kesihatan warganegara. Amin. Syabas. Tahniah.

Tetapi hati kecil saya berkata – betulkah kerajaan baru ini prihatin terhadap kesihatan warga negara? Atau ini hanya kempen popular yang tidak masuk akal? Atau ia hanya anti-rokok kerana pak menteri sendiri tidak pernah menghisap rokok?

Saya berani bertanya sedemikian kerana saya kurang yakin terhadap kempen anti-rokok yang dikaitkan dengan kesihatan. Saya melihat kempen anti-merokok ini dijalankan di Malaysia kerana ada negara lain pun telah berbuat demikian.

Saya melihat pak menteri menjadi pak turut. Kita bukan menjadi pemecah ruyung. Kita bukan menjadi pemula. Kita tidak memulakan apa-apa.

Saya kurang yakin sebab musabab larangan merokok ini berasaskan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan terhadap kesihatan warga negara.

Apakah ini suara kurang ajar dari saya? Apakah saya mempertikaikan kesucian hati pak menteri dan kerajaan Pakatan Harapan? Kerajaan yang saya sokong.

Tidak. Saya tidak kurang ajar. Malah saya menyokong semua langkah kerajaan Pakatan Harapan untuk menjadikan warga negara sihat. Amin.

Pak menteri yang saya hormati,

Saya ingin memberi tahu bahawa ada satu lagi perkara yang lebih bahaya dari rokok. Tetapi hingga ke hari ini pak menteri gagal memaparkan dan memberitahu kepada orang ramai.

Perkara ini gagal diumumkan kepada warga negara. Ini malapetaka yang amat sangat. Malapetaka yang berjuta kali lebih bahaya dari rokok.

Musibah kesihatan

Perkara yang amat bahaya daripada rokok ini ada terlekat di cermin kereta arwah adik saya. Malah mungkin beratus-ratus kereta lagi ada terlekat sticker laknat ini.

Pak menteri kesihatan dan kerajaan Pakatan Harapan telah gagal menerangkan secara tuntas dan ilmiah kepada warga negara tentang bahaya dan musibah terhadap kesihatan yang dibawa oleh gaya hidup industri makanan segera.

Di Eropah dan Di Amerika makanan seperti McDonald dan Kentucky ini dipanggil ‘junk food’ (makanan tidak berkhasiat). Mengikut istilah Dewan – junk – ialah sampah. Foodialah makanan. Junk food ertinya makanan sampah. Khalas.

Makanan sampah ini bahaya kepada kesihatan. Pak menteri seorang penganut Islam yang baik pasti ada terjumpa ayat-ayat tentang haramnya memakan sampah dan bahan-bahan kotor.

Satu kajian ilmiah baru dari School of Medical Sciences University New South Wales Australia telah membuktikan bagaimana makanan sampah ini boleh mengubah perjalanan saraf otak manusia hingga menjadikan seseorang itu gemok hotok.

Kenapakah pak menteri tidak memberi tahu rakyat dan warga negara secara jujur bahawa makanan sampah ini lebih banyak membunuh orang dari bencana perang, bencana kebuluran dan genocide.

Portal Daily Nation pada 12 Jun 2014 telah melaporkan kenyataan Anand Grover tentang makanan sampah. Anand Grover ialah Wakil Khas Hak Kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu – United Nation.

Mengikut laporan kajian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ini seramai 2.8 juta orang mati saban tahun akibat makanan sampah.

The culprit is ‘junk food’,” Mr Grover said. “Containing high levels of sugar, salt, trans-fats and saturated fats, this ‘junk’ has unfortunately replaced healthy foods in our diets.

‘Kepala setannya ialah makanan sampah…’ Ini kata-kata rasmi daripada PBB.

Peluang menjadi murung

Demi Toutatis, jika 2.8 orang ini rakyat Malaysia maka dalam masa 10 tahun negara kita ini akan kosong. Semua telah wafat.

Amat jelas makanan sampah ini membawa bahaya terhadap kesihatan. Membawa maut awal. Mengakibatkan serangan jantung. Badan menjadi gemuk hotok. Ini membawa kencing manis. Makanan sampah juga membawa murung, boleh membawa penyakit otak dan barah.

Satu kajian dari Public Health Journal yang diumum pada 30 Mac 2013 menunjukkan warga yang berbudayakan makanan sampah memiliki 51 peratus peluang untuk menjadi murung.

Semua ini bukan lebong Hishamuddin Rais. Ini bukan kelentong. Ini fakta ilmiah. Ini kajian Pertubuhan Bangsa Bersatu. Tapi sayangnya pak menteri kesihatan hanya bergerak separuh jalan. Hanya berkempen antirokok.

Pak menteri,

Apakah pak menteri benar-benar jujur dan serius untuk menjaga dan mengawasi kesihatan warga negara? Betulkah pak menteri ingin menjaga dan mengawasi kesihatan anak semua bangsa? Ingin melihat bangsa semua agama sihat wal afiat.

Jika pak menteri jujur maka kempen seterusya ialah memberitahu bahawa makanan sampah seperti Mc Donald dan suku sakatnya amat merbahaya kepada kesihatan. Makanan sampah lebih bahaya daripada rokok atau pun sama bahayanya.

Pak menteri,

Jadilah seorang pemula. Jadikan diri pak menteri seorang pemecah ruyung. Jadikan diri seorang yang berani. Jadikan diri seorang yang jujur dan berani berkata benar.

Saya memberi cadangan. Pada awalnya umumkan kepada warga negara – anak semua bangsa tentang bahaya makanan sampah. Mulakan kempen kesedaran. Beri pencerahan.

Di sekolah, di masjid, di surau, di kuil, di gereja, di kaca televisyen, di media – terus menerus beri penerangan dan pencerahan tentang bahaya makanan sampah.

Adakan kempen Jom Tinggalkan Makanan Sampah. Jemput pemikir, cerdik pandai dari kampus dan kolej untuk berforum secara ilmiah tentang bahaya makanan sampah.

Rasa saya pembuat filem dokumentari Morgan Spurlock boleh dijemput untuk memberi kuliah dan pencerahan tentang bahaya makanan sampah bernama McDonald. Kuliah berasaskan filem Super Size Me yang dibuat oleh Morgan pada tahun 2004. Filem ini telah dicadangkan untuk mendapat Hadiah Academy.

Bila telah ada kesedaran dan pencerahan maka pada hemat saya ada beberapa langkah seterusnya wajib dilakukan. Saya mencadangkan agar kerajaan Pakatan Harapan meluluskan Akta Makanan Sampah 2021 di parlimen.

Dalam Akta Makanan Sampah 2021 ini secara jelas ditulis bahawa makanan sampah membawa mudarat kepada kesihatan. Justeru semua restoran makanan sampah wajib memaparkan papan tanda tentang bahaya memakan makanan sampah.

Juga pada setiap kotak dan pembungkus makanan sampah wajib ada tanda bahaya dan gambar sosok jantan ata betina murung yang sugul dan mungkin jadi sasau.

Atau gambar sosok jantan dan betina yang gemuk hotok dan hodoh. Ini sama saperti gambar-gambar barah yang menakutkan yang diletakkan pada tiap-tiap kotak rokok.

Jangan silap faham. Saya bukan berkempen menentang kempen antirokok pak menteri. Saya menyokong kempen ini.

Ops, hampir saya terlupa saya telah sepuluh tahun berhenti merokok. Dan dalam ingatan – saya hanya pernah sekali masuk ke restoran McDonald di Picadilly Circus London. Itu pun untuk menggunakan jambannya sahaja. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Exit mobile version