Independent

Tiada Pengidap TB Warga Asing Lari Dari Hospital

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Tiada insiden seorang lelaki warga asing yang menghidap penyakit tuberkulosis atau TB melarikan diri semasa menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, seperti yang ditularkan di media sosial beberapa hari lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A. Sivanesan, pihak HRPB telah mengesahkan bahawa tiada sebarang kes seperti itu dilaporkan.

“Jadi, mesej yang tular di media sosial adalah palsu dan tidak benar,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai khabar angin tersebut yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Dalam mesej tular itu, antaranya mendakwa lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun yang menghidap penyakit TB tahap kritikal telah melarikan diri semasa menerima rawatan di hospital berkenaan.

Dalam perkembangan lain, menurut Sivanesan, sebanyak 635 kes TB direkodkan di Perak sejak 1 Januari lalu sehingga hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 22 kes melibatkan warga asing manakala selebihnya merupakan adalah warga tempatan.

“Pada tahun lepas, sebanyak 1,546 kes direkodkan dan sebanyak 40 kes melibatkan warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myammar serta Nigeria.

“Kira-kira 80 peratus penyakit TB di Perak adalah kes TB paru-paru yang menular melalui cecair pernafasan apabila batuk atau bersin,” katanya.

Exit mobile version