Independent

Tindakan Di Kuala Terla Demi Puluhan Ribu Nyawa, Bukan Isu Parti, Kaum

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Isu tindakan pengusiran 48 peneroka haram tanah Kerajaan Negeri Pahang melibatkan 300 ekar kawasan tadahan air di Kuala Terla yang berkait Sungai Ichat, Cameron Highlands tidak sepatutnya dikaitkan dengan soal kepartian dan perkauman, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim itu, ianya lebih kepada keselamatan 8,332 pemilik akaun Pengurusan Air Pahang (PAIP) yang bergantung hidup kepada air Sungai Ichat dan tahap kebersihan di kawasan tadahan air Kuala Terla.

“8,332 pemilik akaun jika diganda secara purata kepada lima pengguna, jumlahnya 41,600 jiwa.

“Mereka ini terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, Orang Asli termasuklah pekerja asing Bangladesh, Nepal, Indonesia dan lain-lainnya.

“Di kalangan 41,600 orang ini pastinya terdiri daripada ahli dan penyokong parti UMNO, Dap, PPBM, MCA, MIC, PAS, PKR, Pan dan mungkin di atas pagar,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya lagi, sama ada Kerajaan Pusat yang diterajui Pakatan Harapan (PH) atau Kerajaan Negeri di bawah Barisan Nasional (BN), tindakan terhadap 48 peneroka haram itu adalah untuk menyelamatkan nyawa 41,600 pengguna air PAIP di Cameron Highlands.

“Membalas ganjaran tanah lain bagi mengambil semula tanah yang diteroka secara haram tak sewajarnya dibenarkan kerana ini hanya akan menggalakkan lagi aktiviti pencerobohan tanah milik kerajaan.

“Janganlah pula 41,000 rakyat Cameron Highland minum air tercemar, sedangkan rakyat di Singapura makan stawberi dan sayuran yang ditanam secara haram oleh 48 atau lebih pengusaha di tanah tinggi itu.

“Selamatkan nyawa rakyat Cameron Highlands,” tegasnya lagi. – Foto dan berita dipetik dari UMNO ONLINE

Exit mobile version