Kerajaan Pakatan Harapan Perak yang baru lima bulan memerintah sudah ada ura-ura mahu membina sebuah lapangan terbang baru dalam keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan dan hutang negara masih tinggi.
Adalah lebih baik lapangan terbang sedia ada dinaiktaraf terlebih dahulu ianya lebih menjimatkan dari membina sebuah lapangan terbang baru.
Lapangan terbang Sultan Azlan Shah yang terletak di Sungai Rapat bukannya tidak mampu menampung jumlah pendaratan pesawat sedia ada yang sangat kurang malah boleh menampung lebih dari itu jika dinaiktaraf.
Alasan untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Perak dengan membina lapangan terbng baru adalah tidak masuk akal dalam keadaan Perak masih belum bersedia untuk menerima jumlah pelancong yang ramai dengan kemudahan infrastruktur dan tarikan masih di takuk lama. Adalah lebih baik kemudahan-² itu dibaikpulih terlebih dahulu, dinaiktaraf dan destinasi-² tarikan pelancong dijenamakan semula atau diberi nafas baru.
Kenyataan Dato Seri Nizar Jamaluddin bahawa cadangan untuk membina lapangan terbang itu perlu dikaji semula kerana ia melibatkan kos yang tinggi adalah tepat dan mengikut keadaan kewangan semasa. Untuk membina sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa memerlukan kos sekurang-kurangnya RM1 bilion dengan sebuah runway memerlukan sekurang-kurangnya RM82 juta. Sebuah lapangan terbang besar sudah tentu mempunyai sekurang-kurangnya 3 runway. Dari mana Ahmad Faizal hendak mencari duit sebanyak ini?
Bukannya mahu menolak pembangunan, tetapi belum tiba masanya lagi. Membina lapangan terbang antarabangsa yang baru lebih menjurus kepada menyediakan prasarana untuk dinikmati pelancong luar manakala warga marhaen Perak hanya mampu melihat atau menggigit jari.
Adalah lebih baik kemudahan pengangkutan darat dari lapangan terbang antarabangsa terdekat seperti Subang dan KLIA diberi penekanan. Kerajaan boleh menaiktaraf sistem lebuhraya sedia ada dengan menambah lorong kepada 6 laluan dari Slim River ke Ipoh dan dari Parit Buntar ke Ipoh. Laluan merbahaya dari Kuala Kangsar ke Jelapang sepatutnya diubah kerana telah banyak meragut nyawa pengguna.
Kerajaan boleh mengutip semula wang yang dibelanjakan untuk naiktaraf melalui royalti tol.