Independent

UMNO Tolak Pemimpin `Robohkan Kota Pertahanan Melayu’ – Tajudin

Reading Time: 2 minutes

IPOH: UMNO menolak pemimpin yang merobohkan `kota pertahanan Melayu’ sehingga membuka ruang mudah kepada musuh `merobos’ masuk yang akhirnya menyebabkan UMNO tewas.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato’ Seri Tajudin Abd Rahman berkata, lebih menyedihkan UMNO tewas juga kerana pemimpin ini yang beliau maksudkan Tun Dr Mahathir yang disertai beberapa pemimpin Melayu lain sanggup bersekongkol dengan DAP untuk merobohkan `kota pertahanan Melayu’.

Katanya, yang jeliknya kini Tun Mahathir pula mempelawa semua parti Melayu termasuk UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Beliau berpendapat Tun Mahathir membuat pelawaan itu kerana Perdana Menteri itu kini tertekan kerana sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan semakin terhakis.

Tajudin menegaskan, UMNO tidak dapat menerima pelawaan Tun Mahathir kerana punca berlakunya perpecahan orang Melayu adalah disebabkan Tun Mahathir sendiri.

“Namun harus diingat bahawa hari ini orang Melayu sudah bangkit bersatu menerusi perpaduan ummah hasil jalinan kerjasama mantap UMNO-PAS melalui konsep `taawun’ yang memperjuangankan agama Islam, nasib masa depan orang Melayu dan institusi raja-raja Melayu,” katanya.

Dato’ Seri Tajudin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan serentak Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO Bahagian Gopeng di Bangunan UMNO, Ipoh pada Sabtu. Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Hang Tuah Din dan bekas Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Hamzah Kassim.

Beliau juga mengingatkan ahli UMNO supaya tetap berpendirian teguh mempertahankan UMNO dan tidak mudah goyah termakan `umpan’ yang dibuat pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyantuni ahli perwakilan dan pemimpin UMNO Bahagian Gopeng apabila singgah sebentar untuk bersantai meraikan mereka pada satu jamuan petang.

Dalam ucapan ringkasnya Najib berpesan kepada ahli UMNO supaya terus bersatu mempertahankan parti keramat itu.

“UMNO akan terus bertambah kuat sekiranya orang Melayu bersatu dan menerusi persidangan hari ini kita dapat melihat ahli-ahli yang benar-benar taat setia di saat kita berdepan susah senang,” kata Najib.

Exit mobile version