Independent

Wanita Ditahan di Kuantan Kerana Sebar Berita Palsu

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR | Seorang wanita berusia 28 tahun ditahan di Kuantan, Pahang kerana disyaki menyebarkan berita palsu di media sosial mengenai novel koronavirus (nCoV-2019).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata dalam satu kenyataan wanita yang bekerja sebagai kerani bank itu ditahan pada jam 4 petang hari ini untuk membantu siasatan berhubung dengan sebaran berita palsu di Facebook pada 27 Jan.

“Pihak berkuasa juga merampas telefon bimbit dan kad Sim milik kepunyaan suspek, yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan palsu,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, dan juga akan dikenakan denda tambahan RM1,000 untuk setiap hari di mana kesalahan berterusan selepas sabitan.

Menurut kenyataan itu, dari 28 Jan hingga kini, SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia telah menahan enam suspek kerana didakwa menyebarkan kandungan palsu tentang koronavirus.

Operasi untuk menahan individu yang disyaki menyebarkan berita palsu mengenai koronavirus akan diteruskan bagi memastikan isu itu dibendung untuk memelihara keamanan dan keharmonian rakyat Malaysia, katanya.

Exit mobile version