Independent

Wujudkan Trek Motosikal Bagi Tangani Aktiviti Merempit

Reading Time: 2 minutes

Ipoh, 8 Dis 2024 – Kerajaan Perak disaran mewujudkan segera sebuah trek lumba motosikal di Ipoh bagi menangani aktiviti anak muda yang gemar mengisi masa lapang dengan aktiviti lumba haram dan merempit.

Saranan ini perlu segera diambil peduli dan diberi perhatian serius dalam usaha memantap disiplin para penunggang bagi sukan permotoran.

Penyelaras Gerakan Dua Roda Negeri Perak (GDRNP), Wazi Abd Hamid yang membuat saranan demikian berkata, dengan adanya litar ini, penunggang motosikal dapat didedah dengan segala aspek kemahiran bermotosikal dan keselamatan ketika berada di jalan raya.

“Asas kemahiran bermotosikal amat penting bagi setiap penunggang agar mereka lebih berdisiplin ketika berada di jalan raya sekaligus dapat mengurangi kes kemalangan di jalan raya.

“Litar ini bukan sekadar diwujudkan untuk penggemar sukan bermotosikal dalam kalangan anak muda malah ia meliputi semua peringkat usia,” katanya.

Wazi berkata demikian kepada media pada program Pocket Talk Ops Motosikal ‘Di Mana Keadilannya’ di Port Motowazi, Simpang Pulai pada petang Ahad.

Wazi menzahirkan rasa kecewanya kerana isu pembinaan trek sukan bermotosikal pernah dibangkitkan tidak lama dulu malah beberapa kali cadangan dibuat namun tidak dapat direalisasikan hingga ke hari ini.
Beliau berharap usaha murni bagi menzahir trek sukan bermotosikal dapat disegerakan oleh kerajaan Perak demi untuk memenuhi keperluan dan permintaan rakyat negeri ini.

Bakar Motosikal Manifestasi Kekecewaan Pengguna Dua Roda

Pada petang itu, turut diselitkan dengan acara membakar motosikal sebagai ‘gimik’ dan manifestasi kekecewaan kumpulan pengguna kenderaan dua roda yang sering dipersalahkan setiap kali terjadi kemalangan maut. Mereka juga sering menjadi sasaran utama mendapat saman dalam operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa. Menurut Wazi, beliau akui peraturan mesti dipatuhi. Pengguna akan berdepan tindakan saman malah kenderaan disita jika melanggar peraturan. Namun, beliau menzahirkan kekecewaan kerana kemalangan maut tidak hanya berpunca dari motosikal.

“Statistik menunjukkan kemalangan akibat aktiviti rempit dan lumba haram hanya menyumbang 5 peratus sahaja dari jumlah kemalangan maut di negara ini. Sebilangan besar melibatkan perjalanan ke tempat kerja, ke masjid, perjalanan menghantar anak pergi dan balik dari sekolah di mana mereka ini terdiri dari kumpulan produktif yang bekerja seperti ibu bapa dan anak muda.

“Kerajaan rugi berbillion ringgit kerana kehilangan golongan yang kuat bekerja ini yang telah menyumbang kepada pendapatan kasar negara.  Mereka bukannya kumpulan yang sakit yang terlantar di hospital, ” tambah beliau.

 

 

Exit mobile version