44 Syarikat Tempatan Dapat Manfaat Projek Gas Asli

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Projek pembangunan paip gas asli dari Ayer Tawar ke Lembah Kinta sepanjang 140 kilometer yang menelan kos RM180 juta akan memberi peluang bagi penggunaan gas asli kepada 44 buah syarikat tempatan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor negeri, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, sehingga kini 70 peratus daripada keseluruhan projek sudah siap dibangunkan yang akan memberi manfaat kepada pengusaha industri serta bakal pelabur.

“Bekalan gas asli ini telah membuka lebih banyak peluang kepada pengwujudan industri yang menggunakan gas sebagai bahan utama pengeluaran operasi mereka.

“Seperti syarikat pengeluar sarung tangan, pembuatan kaca, kimia, besi keluli, tekstil dan seramik memandangkan penggunaan gas asli lebih bersih dan mesra alam,” katanya pada sidang media di Sidang Dewan Undangan Negeri di sini pada Isnin.

Nizar ketika ditanya pemberita berkata kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk membangunkan sebuah pusat pemprosesan gas asli di Manjung.

Katanya setakat ini kerajaan negeri sudah mengenalpasti dua kawasan iaitu Tanjung Antu dan Segari di Manjung.”Namun cadangan ini masih lagi dalam proses kajian dengan mengambil kira faktor alam sekitar,” katanya.